PETALING JAYA – Keyakinan para pendeposit terhadap tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus meningkat ekoran keputusan kerajaan meletakkan badan tersebut di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
Rata-rata pakar ekonomi berpendapat, keputusan itu adalah satu tindakan yang sangat baik dan proaktif setelah TH melalui pelbagai isu sebelum ini sehingga sedikit sebanyak telah mencalarkan imejnya sebagai badan terbaik yang menguruskan jemaah haji ke Tanah Suci.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur, Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan kerajaan ini akan menjadi salah satu strategi utama bagi mengukuhkan ekuiti bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.
“Melalui pelaburan TH di dalam organisasi yg penting seperti Bank Islam, ia akan dapat digunakan bagi meningkatkan ekonomi dan secara tidak langsung, mewujudkan pelbagai peluang pengembangan perniagaan baharu,” katanya ketika dihubungi melalui e-mel semalam.
Aimi Zulhazmi menerangkan, langkah ini juga penting untuk mengelakkan daripada berulang lagi beberapa kes berprofil tinggi ke atas TH yang menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan simpanan dan pelaburan badan tersebut.
“Ini termasuklah menjual beberapa pegangan saham dan pelaburan yang tidak produktif dan merugikan, malah kerajaan terpaksa menerbitkan sukuk RM19.9 bilion untuk menstruktur semula kewangan TH pada masa itu,” terangnya.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, usaha ini akan membolehkan bank pusat memberi tumpuan terhadap aspek kecairan, kecukupan modal dan tahap pengurusan risiko.
“Sehubungan itu, ia akan meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap TH dan memastikan simpanan pendeposit kekal selamat,” ujarnya.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid pula melihat keputusan kerajaan itu menjanjikan integriti, pentadbiran dan ketelusan lebih baik dalam pengurusan institusinya.
“Kalau dahulu, orang menyimpan di TH cukup sekadar untuk menampung bayaran menunaikan haji dan mungkin sedikit wang belanja sewaktu di Tanah Suci tetapi kini, ia telah memperlihatkan kemampuan memberi pulangan agak tinggi berbanding bank.
“Disebabkan tiada had siling deposit, semakin ramai menyimpan di TH sehingga ada individu memiliki simpanan mencecah jutaan ringgit.
“Bank pusat akan dapat memantau kemasukan deposit pada jumlah yang besar, seterusnya memastikan dana itu datang daripada sumber yang sah,” jelasnya.