BEIJING – Sebuah bandar di China dilanda ribut yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang dan mengakibatkan sistem kereta api bawah tanahnya dilanda banjir hari ini,manakala hujan lebat dijangka berterusan.
Rakaman video di media sosial menunjukkan sebilangan penumpang kereta api bawah tanah yang digenangi air banjir di pusat bandar Zhengzhou, wilayah Henan, berpegangan tangan ketika air naik ke paras bahu.
Beberapa penumpang kelihatan berdiri di tempat duduk mereka.
Air banjir dilihat mengalir melalui platform bawah tanah.
Pengendali kereta bawah tanah bandar itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu bahawa pihaknya akan menutup semua stesen di semua laluannya kerana cuaca buruk.
Sekurang-kurangnya seorang mati dan dua lagi hilang sejak hujan lebat bermula semalam, demikian menurut akhbar People’s Daily yang melaporkan rumah-rumah turut runtuh.
Media tempatan melaporkan sebelum ini bahawa dua orang terbunuh dihempap tembok runtuh di daerah lain di bandar raya itu.
Pihak berkuasa kaji cuaca mengeluarkan amaran tahap tertinggi untuk wilayah Henan di tengah China. Stesen penyiaran pemerintah, CCTV menyiarkan rakaman menunjukkan penduduk di jalan-jalan yang ditenggelami banjir diselamatkan menggunakan rakit, dengan seorang pekerja kecemasan dilihat mengendong bayi.
Rakaman itu juga menunjukkan seorang lelaki sedang duduk di atas bumbung keretanya yang separuh tenggelam.
Banjir adalah perkara biasa semasa musim hujan di China.
Bagaimanapun, bencana itu semakin buruk sejak beberapa dekad lalu, antara lain disebabkan oleh pembinaan beberapa empangan dan pintu air yang menyekat aliran sungai dan tasik.
Beratus-ratus penerbangan dibatalkan di Beijing dan bandar-bandar berdekatan lain, manakala sekolah serta lokasi pelancongan ditutup ketika hujan lebat dan angin kencang melanda ibu negara China itu awal bulan ini. – AFP