fbpx

Bersemangat jalani ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Biarpun terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha dalam norma baharu, umat Islam di seluruh negara tetap sabar dan bersemangat meraikan perayaan itu semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati, para jemaah yang menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan de­ngan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Rata-rata mereka bersyukur kerana masih dapat meraikan sambutan Aidiladha semalam biarpun dalam suasana baharu tanpa sesi kunjung-mengunjung dan kenduri kendara.

Di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 300 jemaah diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni di Masjid Negara.

Muhyiddin (dua dari kanan) menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.

Sementara di Arau, Perlis, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Aidil­adha di kawasan lapang Dataran Istiadat Istana Arau bersama kira-kira 300 penduduk di bandar berkenaan.

Baginda tiba pada pukul 7.50 pagi diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Solat tersebut diimamkan oleh Imam Besar Negeri, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! mendapati, ibadah korban di seluruh negara yang kini berada dalam Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara tetap berjalan dengan lancar biarpun tanpa tradisi kenduri dan kunjung mengunjung.

Di Kuala Langat, Selangor, seramai 20 petugas Masjid Kampung Jenjarom bergilir-gilir melaksanakan ibadah korban mengikut SOP ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kebajikan Masjid Kampung Jenjarom, Mohd. Muslimen Omar, sebanyak 43 ekor lembu dikorbankan tahun ini melibatkan kariah dan pusat penyembelihan yang diluluskan.

“Daging korban kemudiannya dibungkus sebelum dihantar kepada ahli kariah tanpa perlu mereka hadir ke masjid,” jelasnya.

Dalam pada itu, di Kuala Nerus, Terengganu, tradisi ibadah korban di Masjid Batu 6, sejak 30 tahun lalu diteruskan semalam walaupun secara sederhana.

Sukarelawan melapah daging lembu pada Program Korban Aidiladha di Masjid At-Taqwa, Kampung Batu 6, Kuala Terengganu semalam.

Wakil masjid, Mohd. Akmal Othman, 48, berkata, sebanyak lima ekor lembu ditumbangkan semalam berpandukan had ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Begitupun, berikutan pandemik Covid-19, semua program dijalankan mengikut SOP termasuk persediaan dan mesyuarat bersama peserta semuanya dilakukan secara online.

“Apa pun kami tetap bersyukur masih boleh solat sunat Aidiladha dan melakukan ibadah korban pada tahun ini,” katanya ketika ditemui semalam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI