Alhamdulillah, pertamanya saya memanjat rasa syukur kerana semalam 20 Julai merupakan ulang tahun pertama Kosmo! diterbitkan semula, sekali gus membuktikan akhbar ini mampu untuk berdaya tahan dan berdaya saing dalam arus perdana media tempatan.
Semua itu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan daripada pembaca setia baik dalam bentuk cetak mahupun digital.
Terima kasih diucapkan kepada semua, baik secara langsung atau tidak langsung.
Hari ini, meskipun dunia cuma di hujung jari dan segalanya boleh diperolehi di atas skrin kecil, namun dunia pemberitaan dan kewartawanan masih tetap relevan sebagai sumber maklumat yang paling dipercayai.
Satu kajian yang dilakukan sempena 60 hari pertama Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Mac lalu menunjukkan 88 peratus lebih percayakan berita yang diterbitkan oleh syarikat media berbanding lain-lain sumber.
Kajian itu jelas menggambarkan bahawa media seperti Kosmo! memikul tanggungjawab besar dalam memainkan peranan menyalurkan berita semasa dan pelbagai informasi kepada pembaca sekali gus diharapkan mampu menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Hari ini, dalam suasana pandemik Covid-19 yang belum reda, kita sekali lagi menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana muram dan hiba.
Namun, kesedihan kita tidak sama kepiluan sebilangan rakyat yang sepatutnya menunaikan haji di Tanah Suci Mekah tahun lalu dan sekali lagi tertunda pada tahun ini.
Ujian yang terpaksa diterima ini suka atau tidak sewajarnya diterima dengan rasa reda kerana inilah antara inti pati ‘pengorbanan’ yang perlu kita semua hadapi.
Malah ramai lagi yang terpaksa mengorbankan jiwa raga ketika menghadapi saat-saat sukar dalam era pandemik yang entah bila akan berakhir ini.
Sama seperti isu penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan, Caprice yang dilihat hampir ‘terkorban’ ekoran perselisihan fahamnya dengan personaliti dakwah, Ustaz Ebit Lew baru-baru ini.
Namun, ternyata pemuda ini memperlihatkan jiwa besar dengan memohon maaf serta mengakui kesilapan akibat bertindak mengikut emosi.
Dengan itu, penulis berharap polemik itu akan selesai dan kita tidak boleh melupakan bahawa insan bernama Caprice ini yang telah lebih sedekad menabur bakti dalam aktiviti kemanusiaan.
Penulis berpandangan bahawa apa yang berlaku adalah rentetan daripada rasa cinta, sayang dan simpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin itu sendiri.
Dia yang terjun ke dunia hiburan seawal usia 17 tahun pastinya sentiasa berasa dekat dengan apa yang berlaku di negara itu. Sebarang perselisihan dalam melakukan kerja-kerja kebaikan tidak seharusnya menyebabkan kerja-kerja itu menjadi tidak baik.
Cuma mungkin cara atau kaedah kita dan cara orang lain agak berbeza. Apa pun yang berlaku kita perlu jadikan sebagai teladan.
Kata bijak pandai, jangan bercermin di air keruh. Begitu juga, kalaulah bangkai galikan kuburnya, kalau hidup kita sediakan buaiannya.-K! ONLINE