fbpx

Itik pun takut berenang dalam sungai tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa ekor itik kelihatan tidak mahu masuk ke dalam sungai yang tercemar di Kampung Kundur Hulu.

REMBAU – Penduduk di Kampung Kundur Hulu, di sini, dikejutkan dengan air sungai jernih bertukar menjadi kehitaman dipercayai disebabkan oleh aktiviti sebuah kilang.

Salah seorang penduduk, Mohd Redzuan Raya, 37, berkata, dia menyedari perubahan warna air sungai berkenaan sejak dua hari lalu, namun pada pagi tadi keadaan kualiti air sungai semakin teruk sehingga bertukar menjadi warna kehitaman.

Menurutnya, sungai di kawasan perkampungan berkenaan merupakan antara sumber pendapatan dan makanan penduduk disebabkan banyak ikan seperti tilapia dan sembilang terdapat di dalam sungai berkenaan.

“1 Disember tahun lalu, kejadian ini pernah berlaku dan selepas diadukan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), kejadian telah dapat diatasi, namun hari ini pencemaran sungai berlaku lagi.

“Kebiasaannya pada waktu panas seperti ini, itik akan berenang-renang di dalam sungai, tetapi kini ternakan itu juga takut untuk masuk ke dalam sungai dan hanya berada di tebing,” katanya ketika ditemui di Kampung Kundur Hulu, di sini, tadi.

Keadaan air sungai Kampung Kundur Hulu yang tercemar dipercayai disebabkan aktiviti sebuah kilang di Rembau.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kundur Hulu, Abdul Jalil Jasin berkata, pencemaran itu kadangkala mengeluarkan bau busuk.

Katanya, penduduk yang masuk ke dalam sungai juga mengadu mengalami masalah gatal-gatal.

“Jadi kita harap agar masalah ini dapat diatasi segera memandangkan sungai ini amat penting buat penduduk.

Jika tidak tercemar, setiap hari kita dapat melihat pelbagai jenis ikan di dalam sungai. Ada yang dipancing untuk makan sendiri, ada juga untuk dijual,” katanya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI