PETALING JAYA – Tular di laman sosial klip video yang memaparkan aksi seorang petugas kesihatan didakwa ‘menipu’ ketika memberikan suntikan vaksin kepada seorang individu.
Menerusi klip video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @skymoRoe memaparkan petugas kesihatan itu tidak menekan picagarinya semasa melakukan suntikan vaksin.
Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) namun tidak dinyatakan lokasi dan tarikh kejadian itu dirakam.
Susulan kejadian itu, rata-rata pengguna Twitter mahu pihak berkuasa menyiasat perkara itu kerana mereka bimbang akan berlakunya lebih banyak penipuan selepas ini.
“Harap pihak berkuasa siasat perkara ini, ini bukan bahan lawak, kerana jika betul ada yang menipu macam ni ia akan memberi risiko kepada mereka yang telah ‘ditipu’.
“Risiko itu bukan sahaja kepada penerima tetapi juga kepada orang lain kerana penerima boleh menjadi pembawa Covid-19 tanpa sedar walaupun dalam sijil telah disahkan menerima vaksin,” ciap @MatMotorMelayu di ruangan komen.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @erysukma.
“Punyalah penat berbulan nak dapatkan dos pertama, akhirnya kena tipu. Apalah nasib dengan orang yang kena tipu, harap pihak berkuasa ambil tindakan,”ciapnya.
Terdahulu Kosmo! Online semalam turut melaporkan kes penipuan sama melibatkan seorang wanita di sebuah PPV pandu lalu.
Wanita itu mendakwa, petugas kesihatan itu tidak menekan picagari sewaktu melakukan suntikan.-K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929