BENTONG – Sebanyak 98 buah kenderaan yang cuba memasuki daerah ini diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran rentas negeri yang sah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kesemua kenderaan berkenaan dikesan cuba memasuki daerah ini antara 15 Julai hingga ke hari ini.
“Mereka diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen yang sah daripada polis, tiada dokumen rentas negeri dan menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sebab yang tidak munasabah.
“Selain itu sebanyak lima kompaun juga telah dikeluarkan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong atas pelbagai kesalahan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua kenderaan berkenaan dikesan memasuki daerah ini di tiga sekatan jalan raya (SJR) iaitu SJR Plaza Tol Bentong, SJR hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi dan SJR Jalan Simpang Durian, Manchis.
Sementara itu, tambahnya, pihak polis akan bertindak tegas dan tidak teragak-agak mengenakan kompaun ke atas individu yang melanggar peraturan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.
“Pihak polis menyeru orang ramai untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929