LIVERPOOL – Liverpool berjaya menandatangani pemain pertama mereka pada jendela perpindahan kali ini selepas sah mengikat kontrak dengan pemain Greece, Kostas Tsimikas.
Perkembangan tersebut menyaksikan Liverpool yang membayar nilai £11.7 juta (RM64 juta) menewaskan Leicester City dalam perebutan mendapatkan bekas pemain Olympiacos tersebut.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp melihat potensi Tsimikas untuk jangka masa panjang kerana mereka tidak mempunyai pilihan pemain yang mampu mengisi kekosongan di bahagian pertahanan kiri sekiranya berlaku sesuatu terhadap Andy Robertson.
Perjalanan baharu dalam karier nyata memberikan kegembiraan buat Tsimikas yang mengakui bahawa Liverpool kini sudah pun berada dalam kelompok elit pasukan terbaik dunia.
“Saya sangat gembira dan bangga dipilih untuk berada di sini.
“Satu penghormatan dan saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk kelab gergasi dunia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Klopp mengakui bahawa pasukan pencari bakatnya telah memantau secara dekat perkembangan Tsmikas sejak sekian lama selepas melihat potensi besar yang dimiliki.
“Kami melihat ada sesuatu yang istimewa pada Tsimikas dan saya gembira kerana dia telah bersama kami.
“Dia merupakan seorang pemain bola sepak yang mempunyai sikap serta sentiasa berfikir untuk menang. Mentaliti seperti itu yang saya suka,” jelasnya.
Selain Tsimikas, The Reds sedang memburu khidmat pemain Norwich, Jamal Lewis tetapi cubaan pertama mereka menemui kegagalan apabila pasukan itu menolak tawaran bernilai £10 juta (RM54.70 juta). – AGENSI