PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini termasuk yang berada di luar negara.
Istana Negara dalam satu hantaran di laman sosial Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita kerana buat kedua kalinya umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna ini seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar umat Islam di negara ini terus cekal, sabar serta bersyukur kerana masih lagi diberi kesihatan serta kekuatan untuk menyambut Aidiladha pada tahun ini dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.
“Seri Paduka Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat-lelah merawat pesakit-pesakit Covid-19 dan dalam usaha-usaha memerangi pandemik ini sejak tahun lalu,” katanya hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929