PARIS – Pelumba Slovenia, Tadej Pogacar menjadi pelumba termuda meraih gelaran Tour de France (TdF) dua kali berturut-turut sekali gus menjadi persiapan terbaik menuju ke temasya Sukan Olimpik Tokyo, Jepun.
Pogacar yang beraksi bersama pasukan UAE Team Emirates menjadi pelumba terbaik pada saingan itu dengan menamatkan tiga peringkat perlumbaan dan mengakhiri 21 peringkat perlumbaan dengan catatan 82 jam 56 minit 36 saat sekali gus merangkul jersi kuning.
Pada saingan tersebut, Pogacar berjaya mengatasi tekanan selepas meninggalkan pelumba Denmark, Jonas Vingegaard dengan perbezaan lima minit 20 saat manakala pelumba Ecuador, Richard Carapaz tempat ketiga.
“Tahun lalu, saya sepatutnya menulis ucapan kemenangan pertama di Tour de France tetapi saya tidak tahu apa yang perlu ditulis. Tahun ini, saya akan bercakap terus dari hati atas kejayaan sekali lagi di perlumbaan berprestij ini.
“Saya tidak dapat menggambarkan betapa gembira saya menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Mereka bersama saya pada setiap hari ini untuk melakukan persiapan menyertai perlumbaan jelajah.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini dan kejayaan ini adalah satu kemenangan paling manis dalam karier perlumbaan saya,” kata pelumba berusia 22 tahun tersebut.
Pelumba Belgium, Wout Van Aert menawan peringkat ke-21 selepas mengatasi Jasper Philipsen (Alpecin-Fenix) tempat kedua manakala Mark Cavendish tempat ketiga.
“Tour de France adalah saingan paling mencabar dan saya berjaya melakukannya di peringkat terakhir. Bagaimanapun, saya hanya pelumba biasa jika ingin dibandingkan dengan Pogacar.
“Apa pun kemenangan ini adalah satu pembakar semangat sebelum ke Tokyo. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk meraih pingat di
sana nanti,” katanya. – AGENSI