SILVERSTONE – Pemandu Red Bull, Max Verstappen menyelar tindakan pencabar terdekatnya dari Mercedes, Lewis Hamilton dengan menyifatkan pelumba berkenaan tiada semangat kesukanan selepas dia gagal menamatkan perlumbaan GP British kelmarin.
Pada saingan di Litar Silverstone itu, Verstappen memulakan perlumbaan di petak hadapan tetapi menerima cabaran sengit daripada Hamilton memaksanya beraksi dengan lebih agresif.
Bagaimanapun, ketika saingan memasuki pusingan kedua, Verstappen gagal mengemudi jentera selepas tayar belakangnya terlanggar jentera Hamilton menyebabkan dia terbabas dan menghentam penghadang litar.
Hamilton yang boleh meneruskan perlumbaan hanya diberikan penalti 10 saat oleh pegawai perlumbaan, namun ia tidak menjejaskan peluang pemandu Britain tersebut untuk menjuarai aksi di Silverstone buat kali kelapan.
“Pertama sekali, saya gembira keadaan saya ketika ini sangat baik meskipun impak hentaman tersebut sangat kuat.
“Jelas sekali saya sangat kecewa kerana tersingkir dengan cara seperti ini. Hukuman penalti yang dikenakan tidak membantu kami dan tidak adil atas tindakan bahaya yang dilakukan Hamilton.
“Menyaksikan mereka meraikan kejayaan selepas perlumbaan sementara anda di hospital adalah satu tingkah laku tidak sopan dan tiada semangat kesukanan, tetapi kami akan terus pandang ke hadapan,” tegas Verstappen.
Hasil kemenangan tersebut, Hamilton kekal di tangga kedua keseluruhan dan kini hanya dipisahkan lapan mata dengan Verstappen yang mendahului carta kedudukan pelumba dengan 185 mata.
Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner berang dengan insiden yang menimpa pemandunya dan mengakui tindakan Hamilton sangat bahaya kepada pasukan lain.
“Sudah pasti ia sangat mengecewakan dan saya tidak tahu bagaimana Hamilton memperoleh kepuasan ketika dia meletakkan rakan pesaingnya di hospital,” ujarnya. – AGENSI