TOKYO – Pasukan bola sepak wanita Australia berharap persiapan rapi yang dilakukan memberi tuah dalam usaha meraih kilauan pingat pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang akan membuka tirai rasmi pada Jumaat ini.
Tonggak pertahanan Matildas, Ellie Carpenter percaya pengalaman pasukannya yang berjaya mara ke pentas suku akhir pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil menyuntik semangat dalam usaha mara lebih jauh kali ini.
“Suasana dalam pasukan cukup harmoni selepas kami dikumpulkan agak lama untuk menjalani kem latihan pusat sebelum ke Tokyo. Malah, saya yakin kali ini kami mempunyai potensi untuk mencipta kejutan tersendiri khususnya dibawah jurulatih baharu (Tony Gustavsson).
“Jurulatih telah membawa falsafah bola sepak moden dan pasukan tidak mempunyai masalah untuk cepat serasi dengan taktikal yang dirancang. Justeru, saya percaya peluang untuk meraih kilauan pingat kali ini sangat cerah,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Mengulas lanjut, Carpenter yang mewakili kelab Liga Perancis, Olympique Lyon mengakui sangat teruja untuk bersaing dalam temasya Sukan Olimpik kedua peribadinya selepas membuat kemunculan di Rio pada usia 16 tahun.
“Ini adalah kejohanan Olimpik kedua saya dan sudah tentu kini saya semakin matang. Kini saya sudah bergelar pemain profesional yang berpangkalan di Eropah,” katanya.
Pasukan Australia yang menduduki ranking No. 9 dunia telah diundi dalam Kumpulan G bersama New Zealand, Amerika Syarikat dan Sweden.
Maltidas dijadualkan menentang musuh tradisi, New Zealand pada aksi pembukaan peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Tokyo malam esok. – AGENSI