KLANG – ” Kami bersyukur dapat lihat pengebumian arwah ayah,” demikian reaksi dua beradik sebaik selesai pengebumian ayah mereka, Mohd. Latif Alwan, 63, di tanah perkuburan Islam Selat Klang hari ini yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Menurut anak Allahyarham, Mohammad Norhafizi, 28, bapanya mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 1 Julai lalu setelah mengadu sakit di bahagian perut.
Katanya, doktor yang menjalankan saringan ujian pertama pada hari sama mendapati bapa negatif Covid-19 sebelum dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan kedua empat hari kemudian mengesahkan ayah positif Covid-19.
“Sepanjang berada di HTAR, Allahyarham membuat panggilan video setiap hari kepada kami untuk memaklumkan keadaan dirinya,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Mohammad Norhafizi berkata, dua hari sebelum pemergian Allahyarham, tiada panggilan video dibuat susulan kesihatannya semakin merosot akibat jangkitan Covid-19 serta kanser usus berada di tahap empat dan peluang hidup amat tipis.
Sementara itu, adiknya, Mohammad Afif Aiman, 24, pula berkata, ketika panggilan video terakhir diterima, arwah bapanya sempat memohon maaf kepada mereka sekeluarga.
“Ahli keluarga sangat sedih, namun tidak menunjukkan perasaan itu kerana mahu ayah terus bersemangat melawan penyakit yang dijangkitinya sebelum disahkan meninggal dunia pukul 5.30 pagi, Ahad lalu,” ujarnya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929