MANCHESTER – Manchester United menjadi pasukan paling aktif dalam pasaran perpindahan kali ini apabila menamakan pula pemain Barcelona, Ousmane Dembele sebagai alternatif sekiranya rundingan mendapatkan Jadon Sancho menemui kegagalan.
Selepas beberapa siri rundingan untuk mendapatkan Sancho, United dan Borussia Dortmund masih belum menemui kata putus berhubung perpindahan pemain berusia 20 tahun itu.
United dilaporkan mula bosan dengan beberapa permintaan termasuk gaji yang diminta oleh Sancho selain Dortmund juga yang gemar menggunakan orang tengah dalam proses perbincangan tersebut.
Jaguh Bundeliga itu dilaporkan enggan berganjak dengan nilai £110 juta (RM601.70 juta) yang perlu dibayar secara tunai tanpa apa-apa klausa lain.
Selain itu, ejen pemain berkenaan juga cuba memainkan peranan dengan menekan United membayar gaji mingguan sebanyak £250,000 (RM1.36 juta) ketika The Red Devils hanya mahu memberikan £220,000 (RM1.2 juta).
Sehubungan itu, United mula mencari alternatif lain dan melihat Dembele sebagai salah satu pilihan selain sedang mengadakan rundingan mengenai potensi untuk membawa pemain itu ke Old Trafford.
Dembele tidak beraksi secara kompetitif bersama Barcelona sejak November dan menjalani pembedahan pada Februari ekoran masalah hamstring ketika kontraknya di Camp Nou bakal berakhir dua tahun lagi.
Dembele dibeli Barcelona dengan nilai £138 juta (RM754.86 juta) dari Dortmund pada musim panas 2017 dan lebih menarik, pasukan yang berpengkalan di Signal Iduna Park berjaya mendapatkan Sancho menggantikan Dembele ketika itu. – AGENSI