PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) iaitu sebuah badan khusus yang akan merangka dan memastikan pembangunan industri muzik tanah air diselaraskan secara holistik.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penubuhan PIMM akan disertai serta dilaksanakan dengan sinergi oleh pelbagai pihak dalam bidang industri muzik.
Beliau berkata, sebagai langkah awal penubuhan jawatankuasa sementara akan diwujudkan untuk menggerakkan enam objektif utama yang telah dirancang meliputi dasar dan perancangan.
“PPIM juga akan menekankan objektif akses pasaran / promosi dan platform, hab maklumat, pembiayaan ekonomi pembangunan modal insan dan kapasiti, teknologi dan inovasi serta perspektif masyarakat terhadap industri muzik.
“Jawatankuasa sementara akan ditubuhkan dengan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif PIMM secara sementara bagi memastikan tugas dan aktiviti dalam berjalan mengikut aktiviti sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi ramah mesra secara maya dengan penerima dana industri muzik bagi program Hiburan Dari Rumah (HDR) yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), hari ini.
Saifuddin berkata, perbadanan PIMM juga dijadikan sebagai pemudah cara dan memberi khidmat nasihat dalam membantu permasalahan, kebajikan dan perlindungan hak-hak pemain industri muzik agar ditangani secara kolektif dan harmoni.
Tambahnya lagi, ia akan menjadi pusat maklumat industri muzik negara untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai pelbagai aspek industri muzik dan menyimpan data-data komprehensif bagi tujuan penyelidikan, perancangan dasar dan pelan strategik yang inklusif.
“Pada masa sama, PIMM juga akan bergerak sebagai badan kawal selia yang memantau kemasukan lagu-lagu dari luar bagi mengawal budaya kuning atau songsang daripada menular masuk ke minda penggemar muzik terutamanya remaja,” tegasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929