PORT DICKSON – Pihak bomba menggunakan dron bagi meluaskan kawasan pencarian seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jimah Energy Ventures (JEV) Sdn. Bhd., Chuah dekat sini awal pagi tadi
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abd. Rahman Ali berkata, pihak bomba juga telah menjumpai sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa pada kedalaman 20 meter berdekatan jeti lokasi lelaki itu terjatuh.
“Bagaimanapun, kami masih tidak menjumpai mangsa dan berkemungkinan mangsa berada di bawah lori tersebut.
“Pihak bomba akan menaikkan lori berkenaan menggunakan kren pada petang ini dan kami merasakan mangsa berada tidak jauh dari kawasan lori berkenaan terjatuh. Kami juga akan menggunakan dron dan memperluaskan pencarian melalui dua pasukan iaitu dipermukaan dan di dasar laut bagi mencari mangsa,” katanya. ketika ditemui pemberita di perkarangan JEV, Chuah dekat sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang pemandu lori arang batu, Sharul Nizwan Said, 33, dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut apabila lori yang dipandunya secara mengundur terjunam dari jeti pemunggahan arang batu di JEV, Chuah dekat sini, awal pagi tadi.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan menyambung melakukan selaman dengan kedalaman sejauh 20 meter bagi mencari mangsa.
“Saya dimaklumkan laut agak berombak bagaimanapun, ia tidak kuat seperti semalam dan berharap operasi mencari dan menyelamat dapat berjalan lancar.
“Bagi pasukan di permukaan, mereka akan meneruskan operasi sejauh dua kilometer berdekatan jeti pemunggahan arang batu,” katanya lagi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929