fbpx

Cheng Hoe akur penangguhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE kecewa aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditangguhkan sehingga tahun depan susulan pandemik Covid-19.

AFC putuskan aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia ditunda pada tahun depan

HARAPAN untuk menyaksikan skuad Harimau Malaya kembali beraksi secara kompetitif di padang pada tahun ini tidak kesampaian selepas baki saingan kela­yakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda pada tahun depan.

Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe mengakui terpaksa akur de­ngan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menangguh saingan tersebut meskipun perancangan awal sudah dibuat sejak awal tahun ini.

“Memang tidak dinafikan saya agak kecewa kerana persiapan dan perancangan sudah dilakukan sejak awal tahun ini untuk mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sangat pen­ting buat negara.

“Bagaimanapun, inilah realiti yang perlu kita hadapi sekarang kerana keselamatan lebih menjadi keutamaan memandangkan penularan pandemik Covid-19 masih lagi tinggi di peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya ambil keputusan ini sebagai petanda positif memandangkan barisan kejurulatihan boleh mendapat lebih banyak masa serta ruang untuk mengatur strategi baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya sepatutnya kembali ber­aksi pada Oktober depan apabila dijadualkan bertemu dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam sebelum mengakhiri saingan Kumpulan G menentang Thailand pada November.

AFC dalam satu kenyataan semalam memaklumkan punca utama penangguhan dibuat adalah susulan pandemik Covid-19 masih belum reda khususnya di peringkat Asia manakala tarikh baharu perlawanan hanya akan diumumkan kemudian.

“Keputusan ini diambil bagi menghindari semua pemain dan pegawai daripada jangkitan Co­vid-19 dan kami akan maklumkan tarikh baharu untuk aksi kelayakan ini tidak lama lagi,” kata AFC dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki yang sepatutnya dilangsungkan pada Disember turut ditangguhkan ke tahun depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI