fbpx

Caprice mohon kemaafan Ebit Lew

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Caprice dan Ebit Lew

PETALING JAYA – Konflik Caprice-Ebit Lew memasuki episod baharu apabila pemilik nama sebenar, Ariz Ramli itu melakukan permohonan maaf secara terbuka melalui laman Instagram miliknya.

Barangkali mengambil keberkatan Hari Arafah dan AidilAdha, Caprice, 33, memohon kemaafan bukan hanya daripada Ebit Lew bahkan beberapa individu lain termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Salam @hrhcrownprinceofjohor @hishammuddinhussein dan Ebit Lew, saya mohon minta maaf atas kesilapan. Kita terlalu emosi tentang perjuangan kita demi ummah, demi Palestin dan demi Rakyat Malaysia.

“Apa yang berlaku adalah kesilapan Caprice sendiri dan tidak terlibat pihak lain.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada @hishammuddinhussein, Kedutaan Malaysia di Mesir dan kerajaan Mesir atas kemudahan, sokongan dan perlindungan serta keselamatan 24 jam selama saya berada di Mesir,” katanya.

Tangkap layar hantaran yang dimuat naik di Instagram Caprice.

Caprice turut mengucapkan terima kasih kepada Azeez yang membawanya menyertai misi kemanusiaan di Palestin di menerusi badan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang dinaungi ahli politik berkenaan.

“Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada @azeezrahim yang tiba-tiba menjadi seorang ayah kepada saya selama kita kenal.

“Saya tidak mampu membalas kasih sayang dan sokongan yang telah anda tunjukkan sepanjang misi ini,” katanya dalam satu hantaran panjang lebar dalam Instagram.

Pelantun lagu Lenglui itu turut mengambil kesempatan memohon maaf daripada orang tuanya yang semestinya resah dan risau akan keselamatannya.

“Akhir sekali, saya minta maaf kepada ibu dan ayah kerana membuatkan kalian risau tentang keselamatan saya.

“Saya sayang kalian dan memang menjadi niat saya sejak saya memutuskan untuk hidup dengan cara saya bermula usia 16 tahun adalah tidak lain hanya untuk membuatkan anda bangga,” luahnya.

“Minta maaf Malaysia dan rakyat Malaysia. Insya-Allah, saya akan kembali selepas saya habis dan lunaskan beberapa janji yang telah saya tabur kepada rakyat Palestin,” katanya.

Terdahulu, nama Caprice menjadi bualan rakyat Malaysia apabila mendakwa pasukan Ustaz Ebit Lew yang berjaya masuk ke Gaza, Palestin telah memburukkan imej negara di bumi ambia tersebut.

Menurut Caprice, penduduk di Gaza tidak suka sekiranya gambar mereka diambil ketika menghulurkan bantuan dan itu telah dilakukan Ebit dan pasukannya.

Ironi, Caprice berkata, isu Ebit hanya sebahagian kecil dari pembongkaran sebenar yang dia bakal dilakukan pada 21 Julai ini secara langsung. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI