SEMBANG KORPORAT
PELABURAN dalam unit amanah semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana menjanjikan potensi pulangan lebih baik dan terjamin berbanding hanya menyimpan di dalam bank.
Selepas pengumuman Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, unit amanah kini tidak hanya menawarkan keuntungan samata-mata malah, menyediakan peluang kepada pelabur menyumbang kepada pembangunan sosial serta agihan manfaat kepada awam secara lebih meluas.
BIMB Investment Management Bhd. (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Bhd. merupakan institusi pertama yang tampil melancarkan dana wakaf di negara ini, menerusi Dana Makmur myWakaf (MWF) pada April lalu.
Bersama sasaran saiz langganan mencecah RM50 juta menjelang akhir tahun, dana unit amanah wakaf itu turut menyasarkan agihan keuntungan minimum lima peratus setahun, dengan 50 peratus daripada agihan pendapatan adalah bagi tujuan wakaf dan selebihnya untuk pelabur.
KOSMO! baru-baru ini berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi yang bercerita tentang MWF dan persekitaran pelaburan unit amanah di Malaysia.
KOSMO!: Bagaimana sambutan masyarakat terhadap MWF setakat ini?
Najmuddin: Sambutan setakat ini baik, dana ini telah mengumpul saiz langganan sebanyak RM12 juta.
Dalam suasana pandemik, kami perlu ubah strategi untuk mencipta kesedaran dalam kalangan awam terhadap kewujudan MWF menerusi medium online dan apabila Pelan Pemulihan Negara masuk fasa seterusnya, mungkin kami boleh membuat lebih banyak aktiviti di lapangan.
Selain MWF, kini terdapat beberapa dana wakaf lain di pasaran, namun hanya dana kami yang memberikan agihan setiap bulan jadi apabila pelabur melanggan dana kami, mereka dapat berwakaf setiap bulan sekiranya ada keuntungan.
Minimum pelaburan hanya RM10 menerusi aplikasi mudah alih Best Invest BIMB Investment dan RM200 sekiranya menggunakan konsultan.
Mungkin disebabkan pandemik, penggunaan aplikasi semakin popular dan kami kini memiliki 30,000 pengguna yang berdaftar, yang mana kebanyakan mereka berpendapatan sedikit rendah dan sebelum ini tidak banyak peluang untuk melabur.
Di mana keuntungan daripada dana ini akan dibelanjakan?
Sebanyak 50 peratus daripada keuntungan dana ini akan diserahkan kepada pentadbir wakaf daripada Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Agihan bantuan wakaf akan memfokuskan kepada pendidikan, pemerkasaan komuniti dan kesihatan, misalnya untuk membina pusat dialisis atau memberi bantuan kepada golongan terjejas, misalnya nelayan.
Setiap enam bulan, selain daripada laporan prestasi dana, pelabur akan turut menerima laporan wakaf mereka.
Di mana pula wang dana ini dilaburkan?
Sebagai dana global aset campuran, MWF boleh melabur dalam instrumen seperti ekuiti patuh shariah, sukuk dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).
Sebanyak 48.2 peratus daripada pelaburan kami adalah dalam pasaran domestik, 4.4 peratus di Eropah, 2.7 peratus di Amerika Syarikat dan dua peratus di Australia.
Sejumlah 42.7 peratus selebihnya kami laburkan dalam pasaran tunai kerana tidak mahu mengambil risiko tinggi.
Dari segi strategi pelaburan pula, kami ingin memastikan dana ini berisiko rendah dan memiliki aliran pendapatan, jadi setiap bulan kami boleh berwakaf untuk pelabur.
Apa pandangan tuan tentang suasana pelaburan unit amanah sekarang?
Pertama sekali untuk melabur, kita perlu ada lebihan pendapatan. Unit amanah direka untuk memudahkan golongan yang ingin melabur dalam jangka panjang.
Dengan pelaburan minimum yang rendah, ia salah satu kaedah terbaik bagi mereka yang tidak mahir dengan pasaran saham, sukuk dan sebagainya kerana ia diuruskan pengurus dana yang bertauliah dan berlesen.
Dari segi tema pelaburan sekarang, banyak pihak yang memfokuskan kepada sektor-sektor yang akan memperoleh manfaat daripada pembukaan semula ekonomi.
Kami berpandangan unjuran pasaran saham domestik adalah positif dengan program vaksinasi sedang rancak berjalan dan di negara maju seperti Amerika Syarikat serta di Eropah, pasaran di sana sudah melonjak dan semakin kembali normal.
Apakah wajar tindakan sesetengah individu yang mengambil moratorium dan i-Citra untuk melabur?
Dua kemudahan ini disediakan supaya setiap individu boleh merancang kewangan mereka.
Kerajaan sudah memberi kebebasan kepada kita dengan memberi akses kepada simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan mendapat lebihan tunai daripada moratorium, jadi bagaimana kita merancang kewangan adalah bergantung kepada strategi serta kehendak masing-masing.
Apa sasaran BIMB Investment menjelang hujung tahun ini?
Kami kini menawarkan 15 dana dengan jumlah aset di bawah pengurusan berjumlah RM1.7 bilion.
Dalam persekitaran pandemik kini, kami berhasrat mencapai pertumbuhan antara 10 hingga 15 peratus dari segi jumlah aset tahun ini, selain melancarkan satu atau dua dana baharu yang berkisar kepada teknologi, global dan pendapatan tetap.
Kami juga ingin meneroka pelaburan yang memfokuskan kepada perubahan iklim. Sekiranya dana ini dilancarkan, ia akan memberi peluang kepada orang ramai menggunakan wang pelaburan mereka bagi menyokong usaha menangani perubahan iklim.