Platform PKS
PETALING JAYA – Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan diri sendiri berusaha untuk mengubah apa yang ada pada mereka.
Tekad untuk keluar daripada kepompong kehidupan yang memeritkan sebagai pemandu dan juga kelindan lori, pasangan suami isteri, Mohd. Hafiz Arbaee dan Nurul Hassrah Mohd. Khori mencuba nasib menceburi bidang penjualan produk sabun sebagai pengedar.
Melalui modal simpanan sebanyak RM400, pasangan ini mencuba nasib untuk menjadi pengedar penjualan sabun kerana sabun dilihat sebagai satu barangan wajib yang perlu ada di setiap premis dan kediaman tidak kira penggunanya berbeza latar belakang kerjaya, pendapatan, tinggal di ibu kota atau di kampung serta berkeluarga dan juga individu bujang.
Persaingan yang wujud dalam pasaran tempatan tidak memberi masalah kepada kedua-dua usahawan ini kerana strategi promosinya begitu menjadi sehingga berjaya menyumbang jualan tertinggi buat ibu pejabat.
Sembilan tahun menjadi pengedar membolehkan mereka berdua meraih pelbagai pengalaman menarik dalam industri tersebut daripada aspek pemasaran, pengurusan kewangan dan kualiti produk serta perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Dalam tempoh berkenaan, Mohd. Hafiz, 34, dan Nurul Hasrah, 30, berjaya membina empayar rangkaian pengedaran dengan melatih ramai usahawan baharu sebagai ejen di bawah kendaliannya.
Berdepan dengan masalah teknikal yang diabaikan oleh pihak pengurusan atasan di ibu pejabat, pasangan yang berkahwin pada usia semuda 20 tahun itu tekad mengundur diri dengan membuat perancangan sendiri membina syarikat baharu yang dinamakan Fresh Expert Sdn. Bhd. (Fresh Expert) pada tahun 2018.
Ilmu bisnes yang ditimbanya selama ini tidak akan dipersiakan begitu sahaja dan inilah platform terbaik untuk merealisasikan impian mereka menjadi usahawan sabun berjaya.
Menggunakan jenama Dolive, usahawan tersebut memperbaiki model perniagaan dengan sistem yang lebih teratur bagi membolehkan semua wakil jualannya berniaga secara telus tanpa bersaing sesama mereka.
“Peluang hanya datang sekali, jika kita abaikan dan tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh maka kita tidak mencapai yang diimpikan selama ini,” kata Nurul Hasrah di pejabatnya di Seri Kembangan baru-baru ini.
Sabun Dolive berkonsepkan empat dalam satu yang bertindak sebagai pencuci, pewangi, pelembut dan antibakteria.
Sabun yang memiliki sembilan haruman eksklusif itu telah dihasilkan melalui kajian dan pembangunan (R&D) yang teliti.
Mohd. Hafiz menjelaskan, sabun seberat 10 liter yang dijual pada harga RM30 cukup berbaloi kerana selain menghasilkan cucian yang memenuhi keperluan pelanggan ia juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerana
Dolive mampu bertahan sehingga hampir tiga bulan.
Produk yang telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu juga kini telah mencatat jualan sehingga 100,000 botol sebulan sejak mula dipasarkan pada tahun 2019.
Pasarannya juga bukan sahaja di seluruh Malaysia tetapi juga berjaya menembusi ke negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
“Kami mengunjurkan jualan bertambah kepada satu juta botol sebulan pada masa depan, jumlah ini mampu dicapai memandangkan komitmen rangkaian pengedaran dan juga keyakinan pelanggan terhadap produk sabun Dolive yang berkualiti,” jelasnya.
Tambah Mohd. Hafiz, strategi juga sedang dirancang untuk menambah lebih ramai pengedar kepada 3,000 orang pada masa depan dan juga 30 master leader di seluruh pasaran domestik dan di negara jiran.
Buat masa ini, syarikat memiliki kira-kira 1,000 ejen dan pihaknya mahu menawarkan peluang perniagaan yang berpotensi kepada mereka yang terjejas pendapatan dan kewangan ekoran pandemik Covid-19.
“Kami mahu membantu usahawan dengan memberikan tunjuk ajar dengan penyediaan bahan pemasaran setiap hari kepada mereka secara online.
“Kami juga bersedia menawarkan khidmat bimbingan mentoring agar tidak mengabaikan mana-mana wakil jualan yang ketinggalan daripada petunjuk prestasi utama (kpi) syarikat.
“Di Dolive kami seperti sebuah keluarga besar apabila kami boleh berkongsi pendapat dan idea bersama wakil jualan serta kami juga boleh mendekati satu sama lain tanpa mengira harta, pangkat dan darjat kerana matlamat kami adalah untuk melihat mereka juga berjaya seperti kami,” jelasnya.
Ditanya mengenai impak pandemik kepada operasi syarikat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, Nurul Hasrah menjelaskan, norma baharu masyarakat membeli-belah secara online memberi rezeki melimpah ruah buat syarikat kerana jualan terus melonjak kepada empat juta botol sehingga kini.