PORT DICKSON – Seorang lelaki berusia 33 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut apabila lori yang dipandunya secara mengundur terjatuh dari jeti pemunggahan arang batu di Jimah Power Plant dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.53 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 2.19 pagi.
“Setibanya di lokasi kami dimaklumkan ada seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam laut sedalam 20 meter ketika mengundur kenderaan (lori lima tan) yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan arang batu di jeti pemunggahan arang batu di Jimah Power Plant.
“Kami menjalankan pencarian mangsa di permukaan dan pada pukul 8 pagi ini kami akan memulakan penyelaman di dalam air menggunakan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ketika air surut ketika ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pihak bomba dimaklumkan ketika kejadian terdapat lima orang yang sedang memunggah arang batu di jeti berkenaan.
“Empat orang yang lain adalah pekerja warga asing sedang membersihkan arang batu manakala mangsa yang terjatuh pula sedang mengundurkan lori yang membawa arang batu ketika kejadian,” katanya lagi.
Mohd. Hairul memberitahu, terdapat agensi lain yang terbabit yang membantu termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis.
Seramai lapan orang anggota PPDA terlibat dalam operasi berkenaan.
“Kami menggunakan tiga buah bot termasuk sebuah bot APMM, bot penyelamat bomba dan sebuah bot ‘amphibious inflatable’ (ARIB) dalam operasi pagi ini,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929