SEJAK minggu lalu, berlegar-legar dalam platform media sosial seperti Twitter mengenai kekeliruan orang ramai berhubung isu vaksin yang diterima terutamanya penerima suntikan vaksin jenis Sinovac keluaran negara asal China.
Itu belum lagi bercakap mengenai mereka yang belum terpilih untuk mendapat apa-apa janji temu dalam aplikasi MySejahtera meskipun sudah berpurnama mendaftarkan diri.
Kekeliruan tersebut rentetan daripada kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri. Dr. Adham Baba yang menyatakan vaksin jenis Sinovac akan dihentikan serta-merta pemberiannya dan ditukar kepada Pfizer bermula dengan negeri Kelantan.
Kali pertama mendengar kenyataan tersebut tanpa mendapatkan maklumat lebih lanjut, pasti rata-rata penerima vaksin jenis Sinovac itu akan tercengang dan termenung memikirkan tahap keberkesanan vaksin berkenaan.
“Mengapa kerajaan bertindak menghentikan bekalan Sinovac dari China serta-merta.
“Adakah Sinovac ini tidak bagus dan diragui keberkesanannya? Apa akan jadi dalam badan kita semua yang sudah ‘diresapi’ cecair Sinovac ini?”.
Itu antara persoalan awal yang mungkin berlegar di kotak fikiran penerima vaksin tersebut termasuk penulis yang juga menjadi salah seorang penerima Sinovac dalam kalangan jutaan rakyat negara ini.
Meleraikan persoalan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil menafikan dakwaan kerajaan menghentikan proses pemberian vaksin Sinovac kerana disebabkan kadar keberkesanannya.
Memetik kenyataannya, Khairy Jamaluddin menjelaskan, pemberian vaksin itu sudah mencapai kadar 12 juta dos seperti yang dirancang kerajaan.
“Berkenaan berita kononnya Sinovac akan digantikan dengan bekalan Pfizer, saya ingin jelaskan bahawa tiada isu yang berbangkit kerana bekalan Sinovac kita sudah habis digunakan.
“Tempahan kita sudah selesai dihantar oleh Pharmaniaga. Untuk makluman semua, tempahan sebanyak 12 juta dos yang dibuat oleh kerajaan kepada Pharmaniaga akan habis dibekalkan pada hujung bulan ini,” katanya.
Tambah Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, kerajaan akan menambah tiga juta dos vaksin Sinovac lagi untuk dijadikan stok simpanan dan akan diberikan kepada mereka yang mengalami alahan terhadap vaksin lain.
Katanya yang turut merupakan individu pertama negara disuntik vaksin Sinovac, vaksin jenis Pfizer akan menjadi bekalan tunggal kepada kerajaan mulai Ogos depan dan akan disebar luas penggunaannya ke seluruh pelosok negara.
Dalam pada itu, Pakar Psikologi Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, normal bagi setiap individu untuk keliru jika mesej yang disampaikan kurang jelas dan boleh menimbulkan salah faham.
Menurut Mariani, dalam situasi pandemik yang kian meruncing dan dihimpit pelbagai ujian ketika ini, mental dan psikologi rakyat sangat sensitif.
“Jadi apabila berlaku perkara-perkara seperti dalam konteks vaksin itu, mereka akan bertambah sensitif dan merasakan segala ikhtiar hanya sia-sia.
“Justeru, amat penting untuk setiap mesej yang disampaikan pihak tertentu dapat diterjemah dengan makna yang mudah dan tidak akan langsung mendatangkan kekeliruan, kebimbangan dan ketidakpercayaan rakyat,” katanya.