fbpx

Suburkan muafakat, hayati hikmah ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar oleh AFP

Hari ini bersamaan dengan 9 Zulhijah, seramai 60,000 jemaah haji yang terpilih akan berwukuf di Padang Arafah sebagai tanda bermulanya ibadah haji, manakala esoknya pula umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban.

Kerana pandemik Covid-19, pelaksanaan kedua-dua ibadah itu turut terkena tempiasnya, namun ia tetap dilaksanakan sebagai tanda syukur dan mengagungkan kebesaran Ilahi walaupun dalam suasana yang agak berbeza berbanding sebelumnya.

Dalam ibadah korban, banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik syariat yang diwarisi daripada sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S. itu, lebih-lebih dalam keadaan kita sedang menghadapi pandemik yang masih belum berpenghujung ini.

Antaranya, mengajar kita untuk saling bantu-membantu serta hidup secara bermuafakat yang akhirnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dalam masyarakat. Covid-19 menyebabkan ramai daripada kita mengalami tekanan yang amat berat gara-gara kehilangan kerja, perniagaan merudum, anak-anak menjadi yatim piatu, keluarga berantakan dan pelbagai lagi.

Golongan ini, amat memerlukan bantuan daripada orang-orang di sekeliling dan keadaan inilah yang sebenarnya menguji kita. Kesanggupan kita menghulurkan tangan untuk membantu insan-insan yang terkesan ini akan memberi erti yang besar kepada mereka.

Cubalah untuk berkongsi dengan mereka mengikut kemampuan masing-masing tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang ringgit, barangan keperluan, makanan, tenaga atau buah fikiran yang boleh meringankan tekanan kehidupan yang dialami golongan terkesan itu.

Inilah sebenarnya simbolik di sebalik ibadah korban yang akhirnya mengajar kita agar tidak terlalu mementingkan diri dan bersedia melakukan sedikit pengorbanan untuk sama-sama berkongsi rezeki kurniaan Tuhan. Bayangkan jika setiap daripada kita dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna, rasa-rasanya angka mereka yang terpaksa mengangkat bendera putih akan dapat dikecilkan.

Akhirnya, semua itu akan dapat mewujudkan persekitaran kejiranan yang harmoni dan penuh dengan semangat muafakat sehingga dapat mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama mereka kerana suburnya amalan bantu-membantu.

Akhir sekali, jika kita mampu, lakukanlah ibadat korban dengan seikhlas mungkin kerana ia sebenarnya bukan sekadar memberi daging kepada orang miskin, tetapi lebih daripada itu termasuklah sehingga aspek menghakis ego dan sikap pentingkan diri sendiri yang tebal dalam diri.

Kepada perantau, keputusan anda untuk tidak cuba ‘curi-curi’ pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha dan menyahut seruan kerajaan agar tidak merentas negeri atau daerah juga merupakan satu pengorbanan yang amat dihargai.

Tindakan anda mengorbankan kepentingan diri dengan kekal di tempat masing-masing itu sebenarnya bakal menyelamatkan negara daripada malapetaka yang lebih besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI