MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Alex Telles memberi jaminan bahawa dia tidak akan berhijrah pada jendela perpindahan ketika ini sebaliknya berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula bulan depan.
Difahamkan, pemain antarabangsa Brazil berusia 29 tahun itu telah mendapat tawaran daripada kelab utama Eropah seperti AS Roma selepas dirinya dilaporkan kecewa apabila menjadi pilihan ‘No. 2’ untuk posisi bek kiri The Red Devils musim lalu.
Kata Telles, masih ada misi yang belum dilunaskan terutama dalam membalas kepercayaan yang diberikan oleh skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk menandatangani khidmatnya pada tahun lepas dari, FC Porto.
“Saya tidak sabar untuk memulakan musim kedua bersama United dan saya mahu kekal di Old Trafford selagi masih ada kontrak dengan kelab ini. Justeru, sasaran utama saya sudah tentu untuk membantu pasukan menjulang trofi pada musim baharu nanti.
“Saya percaya beberapa kelemahan pada tahun lalu telah dikenalpasti terutama apabila kami gagal memanfaatkan peluang terhidang selepas tewas di pentas final Liga Europa yang.
“Malah, saya mahu jadikan saingan musim baharu nanti untuk membalas keyakinan yang diberikan oleh barisan jurulatih dan peminat yang cukup menghargai kehadiran saya di sini tidak kira diletakkan dalam kesebelasan utama atau bangku simpanan,” katanya.
Sebagai rekod, Telles hanya membuat 24 kemunculan dalam semua kejohanan bersama United musim lepas selepas pemain bek kiri England, Luke Shaw menunjukkan peningkatan mendadak sekali gus menjadi pilihan utama Solskjaer. – AGENSI