BIARPUN terhalang untuk ke mana-mana seperti waktu dahulu, penyanyi Sissy Imann kini lega dengan sebuah ‘kebebasan’ kecil yang dinikmati.
Bebas buat Sissy bukan surat pelepasan, sebaliknya sebuah lagu terbaharu yang telah dilancarkan sejak bulan lalu.
Mendapat sentuhan trio oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King, Bebas terus mendapat perhatian pendengar sejak dilancarkan apabila telah ditonton lebih daripada 76,000 pelayar YouTube menerusi saluran rasmi MonkeyBone.
Bercerita lebih lanjut, Bebas mengisahkan tentang seorang wanita yang inginkan kebebasan dalam mencari erti sebenar kehidupan dan tidak mahu dikongkong terutamanya ketika mencari erti cinta abadi.
Kisah itulah yang ingin disampaikan oleh Sissy menerusi lagu yang turut menjadi lagu runut (OST) untuk drama Perisik Cinta Tak Diundang, lakonan Andi Bernadee, Shiha Zikir, Hafidz Roshdi dan Wani Kayrie.
Drama tersebut bakal menemui penonton di TV3 tidak lama lagi.
“Bebas merupakan single pertama saya untuk tahun 2021 dan kerjasama buat kali pertama juga dengan tiga komposer terkenal tanah air iaitu Mas Dewangga, Jova Benito dan Aden King.
“Lagu yang dibawakan kali ini amat berbeza daripada lagu-lagu terdahulu. Lebih teruja apabila lagu ini akan menjadi lagu OST untuk drama di TV3,” jelasnya.
Ujarnya lagi, Bebas juga mendapat sambutan ramai apatah lagi dengan sokongan daripada pengikut Instagramnya yang mencapai lebih 233 ribu pengikut.
Pengalaman Sissy dalam bidang nyanyian juga tidak dapat disangkal lagi apabila dia juga berkebolehan untuk bermain pelbagai instrumen muzik.
Selain nyanyian, Sissy juga merupakan seorang pemuzik dan pengacara televisyen. Namanya mula dikenali menerusi lagu Mungkin Kamu yang mencecah sehingga 750,000 tontonan dalam YouTube.
Sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan sebagai penyanyi dan juga pengacara, Sissy yang turut dilabel sebagai ‘beauty with brain’ itu juga pernah muncul dengan single antaranya Pesanan Ayahanda, Sudahlah (Meow), Entah Apa Rasa Bisa Mencinta.