PETALING JAYA – Satu perkongsian video pensohor media (instafamous), Otam Blurr atau nama sebenarnya, Mohd Rustam Johari membuatkan ramai sayu hati apabila negeri kelahirannya, Melaka yang terkenal dengan aktiviti perlancongan kini boleh diibaratkan seperti padang jarak padang tekukur.
Menerusi video yang dimuat naik, Otam yang terkenal dengan untaian video parodi itu mengalirkan air mata mengenang nasib negeri Melaka yang kini vakum daripada sebarang lawatan pelancong disebabkan wabak Covid-19.
“Jalan-jalan di sini tapi rasa sebak. Betul sebak.. (menahan nafas panjang).
“Sebab tak tahu nak cakap macam mana. Selama ini, kita di sini tengok pelancongan giat sangat di Melaka. Tapi, apabila tiada pelancong, sumpah weh sedih sangat,” ujar Otam dalam nada penuh beremosi seraya mengalirkan air mata dalam video yang dimuat naik.
Hantaran video lelaki itu turut mendapat perhatian aktres hebat, Nad Zainal yang menulis dalam ruangan komen: “Nanti habis dos kedua, aku datang ya Otam. Tunggu habis Covid ini.”
Sebelum Covid-19 melanda, negeri bersejarah itu memang jarang lengang daripada aktiviti pelancongan.
Terkenal dengan juadah signatur asam pedas dan aktiviti malam bersukaria menghayati panorama Bandaraya Melaka termasuklah berjalan perlahan-lahan sambil duduk berehat menaiki beca berwarna-warni, kemeriahan itu kini hanya tinggal kenangan sehinggalah wabak Covid-19 benar-benar dapat dikawal sepenuhnya di negara ini.
Satu laporan media sebelum ini menyebut, berdasarkan jumlah pembaharuan keanggotaan dengan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tahun 2021, 50 peratus pengusaha sektor pelancongan di negeri bersejarah tersebut telah menutup pintu perniagaan masing-masing. – K! ONLINE