fbpx

Arab Saudi jamin ibadah wukuf di Arafah berjalan lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khemah didirikan untuk menampung jemaah haji di Mina berdekatan Kota Mekah, menjelang permulaan ibadah haji tahunan pada 16 Julai 2021 - AFP

MEKAH – Pengarah Keselamatan Awam dan Ketua Jawatankuasa Haji Arab Saudi, Jeneral Khalid Al-Harbi memberi jaminan bahawa ibadah wukuf yang bermula hari ini (Isnin) akan berjalan dengan lancar, lapor akhbar Saudi Gazette, semalam.

Menurut Khalid, beliau sendiri telah turun padang bagi memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah mengikut arahan yang ditetapkan.

“Semua jemaah haji tahun ini boleh melaksanakan ibadah wukuf mereka dengan tenang dan tanpa sebarang gangguan.

“Pihak keselamatan kami sentiasa berjaga-jaga dalam memastikan perjalanan rohani para jemaah tidak terjejas meskipun dilakukan dalam suasana protokol kesihatan ketat,” jelasnya dalam satu sesi taklimat.

Pihak berkuasa telah mengerahkan beberapa pusat pemeriksaan keselamatan ketat di jalan-jalan utama menuju Masjidil Haram di Mekah.

Sementara itu, persediaan logistik dan kesihatan sedang disiapkan dengan teliti di dalam setiap khemah yang akan didiami jemaah di Mina.

Ketika berucap pada pertemuan para komandan keselamatan haji, Wakil Menteri Haji dan Umrah, Abdul Fattah Mashat mengatakan bahawa penggunaan kad pintar haji adalah antara penambahbaikan teknologi yang membantu melancarkan proses ibadah kali ini.

Kementerian menjelaskan bahawa kad itu membolehkan jemaah haji pulang ke khemah di tempat-tempat suci dan hotel di Mekah tanpa sebarang kontak fizikal serta memudahkan proses pengangkutan di tempat-tempat suci.

Kad ini juga dapat membantu mengesan jemaah haji sekiranya terputus hubungan dengan pihak berkuasa.

Kementerian memaklumkan bahawa terdapat 3,000 bas telah disediakan untuk membawa  jemaah ke lokasi-lokasi ibadah dan setiap bas akan membawa hanya 20 jemaah.

Timbalan Menteri Haji, Muhammad Al-Bijawi berkata, pembahagian jemaah haji ke dalam kumpulan 20 bertujuan untuk mengekang penularan virus kepada 20 jemaah dalam satu-satu masa sekiranya terdapat jemaah yang dijangkiti di dalam mana-mana kumpulan pun.

Antara larangan lain yang dikekalkan daripada musim haji lepas adalah jemaah tidak boleh mendekati atau mencium Hajarul Aswad.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan telah menyiapkan sejumlah besar kemudahan kesihatan seperti klinik bergerak dan ambulans untuk bersiap sedia berkhidmat buat para jemaah. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI