KOTA KINABALU – Lebih 15 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.20 pagi itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak memusnahkan kediaman berhampiran ekoran kedudukan yang rapat antara satu sama lain.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Turut musnah lima kenderaan milik penduduk kampung yang diletakkan berdekatan rumah.
Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.32 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati api sedang marak sehingga memusnahkan 15 rumah atas air berstruktur kayu.
“Bantuan penduduk kampung yang membantu pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929