KOTA TINGGI – Seorang penolong pengurus mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran dengan menggunakan komunikasi jelik tahun lalu.
Tertuduh Mohamad Arif Ahmad, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Wan Mohd. Norisham Wan Yakob.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Arif yang menggunakan nama profil Uncle Ireev @mxdriv di Twitter secara sedar membuat dan memulakan penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada pukul 9.20 pagi, 25 Oktober tahun lalu.
Pautan itu kemudian dibaca pada 3.30 petang, hari yang sama di Kedai Makan, Air Papan di Mersing.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi dan tertuduh diwakili peguam Omar Kutty Abdul Aziz.
Sementara itu, Muhammad Irsyad memohon pihak mahkamah mengenakan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial mengenai kes itu.
Bagaimanapun, Omar Kutty memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh menanggung ibu bapanya yang mempunyai beberapa penyakit dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Wan Mohd. Norisham kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan membuat sebarang komen di media sosial sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan semula sebutan kes pada 22 Ogos depan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929