PETALING JAYA – Seramai 28 orang ditahan polis dalam satu sambutan majlis hari jadi di sebuah kediaman di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.
Serbuan dilakukan pada pukul 1 pagi tadi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, setelah menerima maklumat aktiviti tersebut di satu unit kediaman di tingkat 36, residensi berkenaan.
Timbalan Ketua JSJ, Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata, polis menahan seramai 16 lelaki dan 12 wanita berusia dalam lingkungan 27 hingga 63 tahun yang sedang leka berhibur meraikan hari jadi seorang wanita yang dianjurkan suaminya.
“Hasil siasatan mendapati polis menemui dadah jenis ketamin dipercayai digunakan sebahagian pengunjung yang dijemput suami wanita terbabit serta rakan kepada isterinya.
“Satu daripada tiga bilik tidur di kediaman itu dijadikan tempat untuk menari serta dilengkapi lampu disko. Polis juga turut menemui kondom yang digunakan pengunjung disyaki melakukan aktiviti maksiat dalam kalangan tetamu yang hadir,” katanya.
Tambah Nasri, berdasarkan ujian saringan air kencing oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, tujuh lelaki dan empat wanita didapati positif dadah.
Menurutnya, polis akan mengenakan tindakan kompaun terhadap pemilik dan pengurusan residensi berkenaan.
“Kesemua suspek dikenakan kompaun mengikut Seksyen 22, Perintah Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit, Akta 342, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929