KUANTAN – Seramai 102 anggota termasuk lapan pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalani kuarantin selepas 63 daripada anggota polis di IPD berkenaan disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 anggota dikuarantin di rumah masing-masing manakala selebihnya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah ini.
“Penularan Covid-19 mula dikesan dalam kalangan anggota pada 13 Julai lalu sebelum menjangkiti beberapa pegawai dan anggota lain,”katanya selepas memberi taklimat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tanjung Lumpur, di sini, malam semalam.
Menurutnya, walaupun 63 anggota terbabit disahkan positif namun keadaan mereka tidak serius kecuali seorang anggota yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sejak 14 Julai lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun ramai anggota dan pegawai di IPD Kuantan tidak dapat bertugas kerana menjalani kuarantin namun ia tidak menjejaskan penugasan harian pihak polis.
“Semua atur tugas yang telah dirancang dan ditetapkan dapat dilaksanakan dengan baik setakat ini dan kita telah mendapat bantuan dari IPK bagi cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bahagian Siasatan Trafik serta Bahagian Tugas Am.
“Semoga anggota dan pegawai terbabit akan segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti sedia kala,”ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929