GUA MUSANG – Jumlah kenderaan memasuki pintu masuk negeri Kelantan melalui Gua Musang didapati berkurangan selepas orang ramai dilarang merentas negeri dengan menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis mengetatkan kawalan di sempadan negeri apabila memperhalusi pemeriksaan terhadap 1,230 buah kenderaan yang melalui dua SJR iaitu di Kampung Tanah Putih dan Kampung Kundur.
Katanya, kebanyakan individu yang dibenarkan melepasi sekatan terdiri daripada mereka yang mempunyai surat kebenaran polis bagi tujuan kecemasan, pasangan jarak jauh dan kenderaan perdagangan.
“Polis telah mengarahkan dua buah kenderaan berpatah balik pagi ini dan mengeluarkan satu kompaun terhadap pengguna jalan raya yang tiada permit kebenaran rentas negeri semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau kenderaan yang memasuki Kelantan melalui SJR Kampung Tanah Putih di sini hari ini.
Choon Foo, juga menasihatkan agar orang ramai tidak mencuba nasib untuk pulang beraya dengan menggunakan surat MITI. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929