fbpx

Raf Yaakob minta Caprice bertenang, jangan balas kutukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAF YAACOB meminta Caprice bertenang dan segera kembali ke tanah air.

PETALING JAYA – Isu hangat membabitkan penyanyi rap dan usahawan, Caprice dan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL) mendapat maklum balas ramai selebriti tanah air.

Sebagai sahabat, rata-rata menasihatkan Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli, 32, bertenang supaya kemelut antara mereka tidak menjadi lebih buruk.

Malah ada yang memintanya kembali dulu ke tanah air bagi menyelesaikan situasi secara bersemuka, bukan menerusi media sosial sehingga mencetuskan perbalahan lain.

Suami Mawar Rashid, Raf Yaakob juga tidak ketinggalan meluahkan pesanan meminta penyanyi terbabit tidak menambah kekalutan dengan berkongsi segala-galanya di laman sosial.

“Saya sudah dengar kedua-dua ‘live’ (siaran langsung) tadi. Sedih tengok apa yang tengah berlaku sekarang. Saya tak tahu apa yang berlaku, saya rasa semua rakyat Malaysia juga pun tak tahu apa yang berlaku.

“Cuma Cap (Caprice), lebih baik selesaikan sahaja isu ini secara berdepan dengan UEL dan jangan kongsi apa-apa lagi kenyataan yang boleh mengkucar-kacirkan keadaan.

“Apabila awak mula kongsikan di Instagram, keadaan jadi ‘messy’ (serabut). Saya tahu apa yang awak rasa, tetapi awak kena selesaikan perkara ini secara berdepan berdua.

“Berdebat dengan UEL atau pengawal peribadinya di sana atau sesiapa pun secara terbuka tidak perlu. Jadi bila sudah mula buka cerita di media sosial, awak tak boleh berundur, semua orang akan tahu,” katanya.

Kontroversi tercetus selepas Caprice mendedahkan dia disekat daripada mengikuti akaun Instagram UEL sebaik memberikan teguran kepada personaliti dihormati ramai itu tentang apa yang di Gaza, baru-baru ini.

Dia yang turut serta dalam misi  kemanusiaan di Palestin mendakwa kecewa dengan pendakwah terkenal itu yang menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza sebagai bahan kandungan dalam media sosial.

Pendedahan Caprice nyata menimbulkan rasa kurang senang netizen terutama dalam kalangan penyokong Ebit sehingga menerima pelbagai reaksi negatif.

Bagaimanapun, Caprice yang kini berada di Mesir tetap berharap hubungannya dengan UEL akan kembali pulih kerana dia sangat menyanjungi serta menjadikan aktivis itu sebagai idola.

Sementara itu, Raf yang juga adik kepada Fazley Yaakob itu meminta Caprice untuk berbalik kepada qada dan qadar serta percaya apa yang berlaku ini ada hikmahnya.

“Kadang-kadang, bila Allah SWT sulitkan sesuatu, mesti ada sebabnya. Begitu juga kalau dia permudahkan sesuatu, mesti ada sebab.

“Hanya Allah SWT yang tahu. Cap muhasabah diri, Allah tahu nawaitu anda dan UEL. Apa yang berlaku, serahkan saja kepada Allah SWT, Allah itu maha adil.

“Suatu hari nanti kebenaran akan terbuka juga. Kalau ada orang perli, jangan balas balik. Cuma henti berkongsi perkara seperti ini di media sosial. Ia perkara besar dan semua orang tidak bersedia.

“Selesaikan semuanya secara elok-elok. Umat Islam harus bersatu. Jaga diri,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI