Isunya mungkin sedikit ‘terlindung’ kerana melibatkan golongan rentan (vulnerable) atau minoriti. Dadah dan homoseksualiti. Kedengaran tabu atau pantangan, namun satu realiti yang perlu diberi perhatian.
Dalam kalangan golongan homoseksual, syabu barangkali bukanlah satu nama yang asing.
Sebelum berganjak lebih jauh, ingin diingatkan bahawa tujuan artikel ini ditulis bukan untuk membuka aib mana-mana pihak, tetapi lebih kepada tanggungjawab agar Malaysia bebas daripada kesulitan ini sama seperti visi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ‘Masyarakat Malaysia Bebas Daripada Dadah’.
Berdasarkan laporan Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan AADK, jumlah penyalahgunaan dadah, penagih serta bahan larangan menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 130,788 pada tahun 2018 kepada jumlah 142,199 pada tahun 2019.
Ini bermakna, pada tahun 2019 secara nisbahnya, dalam 100,000 orang penduduk terdapat seramai 436 orang yang bergelumang dalam najis dadah.
Penulis pernah berkunjung ke sebuah lokasi pelancongan popular di Kuala Lumpur beberapa kali dan mendapati, alatan seperti ‘bong’ yang juga dikenali sebagai ‘dapur’ oleh penagih dadah jenis syabu dijual secara terbuka.
Alatan hisap dadah tersebut didakwa boleh dibeli secara terbuka di kawasan itu dan ‘dijaga’ oleh pekerja asing yang berlagak seperti gangster.
Saat artikel ini ditulis, penulis sengaja melakukan carian di satu laman pembelian online, ada juga pihak atau individu yang mengambil kesempatan menjual ubat perangsang seks yang lazim digunakan golongan homoseksual untuk mengadakan hubungan seks sejenis.
Ketagihan seseorang terhadap bahan-bahan tersebut hanya akan membawa kepada kemudaratan yang sukar dirawat.
Lebih memburukkan keadaan, ketagihan terhadap dadah boleh membuatkan seseorang hilang pertimbangan sekali gus membawa kepada perkara yang lebih serius iaitu jangkitan HIV.
Ia diakui oleh seorang doktor perubatan muda yang sentiasa menjadi rujukan di Twitter bernama Dr. Nimelesh Balanthiren.
Walaupun statistik menunjukkan kes jangkitan HIV pada tahun 2018 melibatkan hubungan seksual antara lelaki tertinggi iaitu 57 peratus, setiap orang yang berisiko perlu ada rasa tanggungjawab untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.
“Bukan senang untuk pujuk diri mendapatkan rawatan terutama apabila diri berada dalam fasa denial.
“HIV bukan hukuman mati. Penghidap boleh hidup dengan jangka hayat sama macam orang lain asalkan mereka makan ubat.
“Jika jangkitan tidak dirawat, imuniti badan akan menjadi lemah dan apabila sampai satu tahap, pesakit boleh menghidap AIDS,” katanya.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang sewenang-wenangnya menjual peralatan yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah secara berleluasa.
“Dadah tidak mengenal jantina atau sesiapa pun. Masalah ini adalah sesuatu yang serius yang boleh merencatkan kemajuan masyarakat.
“Sebagai contoh, peralatan menghidu syabu seperti ‘bong’ dan ‘popaye’ dijual secara terbuka di sesetengah kawasan. Perkara ini tidak wajar dipandang remeh. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas,” ujarnya.