PADA usia 17 tahun, pemilik nama Aliya Maisarah Ismail telah pun membina empayar perniagaan berasaskan kosmetik atas jenama sendiri.
Gadis bertubuh genit yang mesra dipanggil Liya ini mempunyai 1.5 juta pengikut di Instagram (IG).
Anak kelahiran Kluang, Johor ini mula dikenali ramai ketika berusia 12 tahun selepas kisah nya mahir bersolek walaupun masih kecil tular di media sosial sekali gus membuka peluang kepadanya untuk menjana pendapatan bagi mereviu produk.
Terbaharu, anak kedua daripada empat beradik itu menjayakan kempen bersama jenama antarabangsa, Gucci selain bekerjasama dengan 10 jenama besar yang lain. Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama gadis Instafamous ini.
Kosmo Ahad!: Ceritakan mengenai pembabitan Liya dalam media sosial?
Liya: Semuanya bermula pada pertengahan 2016. Ketika itu, nama Liya tular di IG dan Facebook disebabkan bakat dalam bidang solekan. Bilangan pengikut bertambah hari demi hari kepada 1.5 juta orang. Kebanyakan mereka suka melihat Liya membuat reviu produk walaupun baru berusia 12 tahun ketika itu.
Detik penglibatan dalam dunia solekan?
Pada awalnya, saya hanya menggunakan alat solekan ibu. Liya mendaki sedikit demi sedikit mempelajari teknik solekan di laman YouTube dan berguru dengan jurusolek profesional.
Ada pengalaman dikecam mengenakan solekan ketika masih kanak-kanak?
Pernah. Biasanya Liya membiarkan netizen meluahkan pendapat atau kritikan. Keluarga juga menyokong lebih-lebih lagi ketika berdepan situasi sebegitu.
Bagaimana dengan perancangan masa depan?
Saya mengeluarkan kosmetik jenama sendiri, Eevok Cosmetics dan mendapat maklum balas yang menggalakkan.
Mempunyai 1.5 juta pengikut di IG, apakah yang Liya selalu kongsikan selain solekan?
Saya selalu mengingatkan pengikut agar sentiasa menekankan pendidikan. Jangan abai pelajaran demi mengejar cita-cita bergelar Instafamous.
Bagaimana dengan pendidikan Liya?
Ramai yang salah anggap Liya tidak menghabiskan persekolahan tahun ini, sedangkan Liya baru selesai menduduki Peperiksaan Antarabangsa Cambridge (CIE) pada Mei lalu.
Nasihat Liya kepada pengikut di musim pandemik ini?
Liya berpesan kepada pengikut supaya hadkan pergerakan. Liya sedar ramai yang terkesan dan berkongsi maklumat mengenai badan bukan kerajaan yang membantu golongan memerlukan. -K! ONLINE