Hanya kerana satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, seorang pesara guru berusia 71 tahun di Petaling Jaya, Selangor rugi RM1.07 juta. Wang simpanannya lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada Mei lalu.
Pada awal bulan lalu, seorang pesara kerajaan berusia 76 tahun di Bayan Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang pula rugi RM1.84 juta. Mangsa juga menjadi mangsa penipuan Macau Scam.
Kes penipuan Macau Scam bukanlah bermusim seperti musim durian, musim banjir, musim panas dan musim pemandu mabuk langgar orang, sebaliknya boleh dikatakan hampir setiap minggu, ada sahaja yang menjadi mangsa.
Berilah peringatan setiap hari pun, namun masih ada yang terpedaya dengan kata-kata sindiket Macau Scam.
Mereka yang menjadi mangsa bukannya tidak berpelajaran, sebaliknya terdiri daripada golongan bijak pandai seperti pesara kerajaan, pegawai eksekutif dan ahli perniagaan.
Jika diambil kira dari segi umur, sudah tentu mereka tidak mudah diperdaya sindiket Macau Scam kerana golongan ini yang lebih dahulu makan garam.
Berbeza dengan satu kes di Cameron Highlands, Pahang, seorang remaja yang baru berusia 14 tahun menjadi individu termuda menjadi mangsa sindiket Love Scam.
Remaja lelaki itu sanggup menyerahkan wang sebanyak RM295,950 milik bapanya kepada ‘gadis’ yang dikenalinya di Facebook sejak Februari lalu.
Atas faktor usia, remaja terbabit sememangnya mudah diperdaya, tetapi dalam kes penipuan Macau Scam, banyak mangsa terdiri daripada mereka yang sudah bersara.
Nilai wang yang lesap bukannya ratusan atau ribuan ringgit sahaja, malah jutaan ringgit. Begitu banyak duit pesara-pesara kerajaan dan swasta.
Ini adalah antara faktor sindiket Macau Scam menyasarkan mereka sebagai mangsa berbanding mereka yang masih bekerja.
Skrip modus operandi sindiket terbabit sama sahaja. Syarikat kurier akan menghubungi mangsa kononnya telah menghantar bungkusan yang menyalahi undang-undang.
Mangsa kemudian akan dihubungi individu lain yang menyamar pegawai polis kononnya dia terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan meminta sejumlah wang untuk menutup kes tersebut.
Akhirnya, mangsa yang terpedaya memindahkan wang sehingga jutaan ringgit kepada sindiket itu. Peliknya, mangsa hanya menyedari diri ditipu setelah duit habis diserahkan kepada pegawai polis palsu.
Justeru, matikan sahaja panggilan yang dicurigai. Jangan takut kalau kita tidak melanggar undang-undang, biarlah polis datang ke rumah membuat tangkapan daripada kita ditipu ‘bulat-bulat’. Berani kerana benar, takut kerana salah.