PASIR MAS – Polis menahan seorang lelaki ketika dia dipercayai sedang menjual dadah jenis heroin dan syabu di tepi jalan Kampung Kelar Godel di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis menjalankan pemerhatian di kawasan tersebut pada pukul 7.30 petang selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, polis mendapati seorang lelaki dipercayai sedang melakukan aktiviti jual beli dadah di kawasan itu.
“Polis terus menyerbu suspek dah lelaki berusia 33 tahun itu cuba untuk melarikan diri, namun gagal.
“Pemeriksaan terhadap suspek telah menjumpai dadah jenis syabu seberat 0.17 gram dan heroin 7.52 gram yang dianggarkan bernilai RM3,145 di dalam poket seluarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai enam rekod jenayah lampau berkait kes dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929