Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
KLANG – Jeritan seorang kanak-kanak berusia enam tahun telah menyelamatkan nenek dan datuk saudaranya yang juga orang kelainan upaya (OKU) daripada rentung dalam kebakaran di Jalan Seri Sembilan, Batu 9, Kapar di sini musnah dijilat api, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Mohd. Ammar Al Fiyan Mohd. Fauzi, 6, sedang bermain dengan adiknya Mohd. Aiman Adha Suhaini, 5, dan ternampak kepulan asap tebal memenuhi ruang tamu rumah neneknya yang terletak bersebelahan.
Menceritakan kejadian itu, Azizah Abdul Karim, 57, memberitahu, ketika kejadian dia sedang tidur di sofa di bilik tidurnya sebelum dikejutkan jeritan cucunya.
“Saya tersedar selepas terdengar jeritan api berkali-kali daripada Amar.
“Sebaik membuka mata, saya terlihat asap dan segera mengejutkan abang ipar, Hussein, 63, yang ketika itu sedang tidur di biliknya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Dewan Taman Kerayong, Kapar di sini hari ini.
Dia berkata, mereka segera keluar dengan memapah Hussein yang OKU dan mengarahkan cucunya juga keluar daripada rumah sebelum menghubungi pihak bomba.
Hussien menjadi OKU akibat cacat di bahagian kaki dan tangan susulan kemalangan di tempat kerja 18 tahun lalu.
“Suasana ketika itu kelam kabut dan saya melihat api memusnahkan rumah didiami sejak 35 tahun lalu selain kediaman anak dan saudara yang terletak bersebelahan antara satu sama lain.
“Namun, saya bersyukur kerana jeritan cucu telah menyelamatkan kami berempat,” katanya.
Jelas beliau, ekoran kejadian itu, kesemua 17 ahli keluarga yang mendiami rumah berkenaan hilang tempat tinggal termasuk dua buah kereta turut musnah akibat dijilat api.
Justeru, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB BANK Azizah di 12220012389527 atau menghubungi anaknya, Haszatul Amira Hashim di talian
017255 8708. – K! ONLINE