PETALING JAYA – Negeri Selangor masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) biarpun kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim semalam.
Berikutan itu, penduduk di negeri itu kini masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan dalam fasa tersebut.
Antara SOP itu adalah tiada pergerakan rentas daerah dan negeri bagi semua individu termasuk suami isteri jarak jauh tanpa kebenaran.
Pergerakan di dalam kereta juga terhad kepada dua orang untuk membeli barang keperluan, manakala bagi perjalanan perubatan, dua orang serta pesakit sahaja dibenarkan dan perjalanan tidak boleh melebihi 10 kilometer dari rumah.
Bagi pergerakan rentas daerah atau negeri bagi tujuan vaksinasi bagaimanapun dibenarkan dengan menunjukkan butiran temu janji di aplikasi MySejahtera, laman web atau SMS.
Selain itu, makan di premis atau letak kenderaan dan makan adalah tidak dibenarkan.
Bagi aktiviti keagamaan pula, solat di masjid serta surau dibenarkan terhad kepada 12 ahli jawatankuasa manakala aktiviti keagamaan lain tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin diutamakan dalam menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau di Selangor dengan had jemaah seramai 50 orang di enam kategori masjid manakala 40 bagi surau kebenaran Jumaat.
Dalam tempoh Fasa Satu PPN juga, perkhidmatan kedai makanan dan minuman untuk penghantaran atau dibawa pulang dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam, manakala kedai runcit, pasar raya, kedai keperluan harian seperti kedai hardware, bengkel kenderaan serta dobi dibenarkan beroperasi hingga pukul 8 malam. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929