fbpx

Biarlah lambat panas – Sarah Suhairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARAH SUHAIRI

BERSIH daripada sebarang onar. Itulah persepsi umum tentang penyanyi Sarah Suhairi jika dibandingkan dengan rakan seangkatan lain.

Manakan tidak, biarpun sudah empat tahun membina karier yang boleh disifatkan agak memberangsangkan, namanya masih terhindar daripada sebarang kisah hitam yang menconteng arang ke muka sendiri.

Caranya, dia hanya berhati-hati memuat naik sebarang pendapat peribadi dalam media sosial. Itu yang dipraktikkan oleh penyanyi kecil molek berkenaan.

Bahkan, penyanyi berusia 21 tahun itu memberitahu perkara tersebut dilakukannya bukan sahaja untuk dirinya tetapi demi menjaga maruah dan kepercayaan yang telah diberikan

Tutur juara program realiti, Big Stage musim pertama itu, pengalamannya melihat beberapa rakan artis dikecam tanpa belas kasihan kerana terlanjur kata dalam media sosial membuatkan dirinya lebih berhati-hati.

“Ketika musim pandemik ini, rakyat negara ini semakin sensitif kerana duduk di rumah dan mempunyai banyak masa melayari media sosial. Mereka juga menjadi sangat peka dengan setiap tindak-tanduk golongan selebriti.

PELANTUN lagu Resah itu enggan mencetuskan sebarang provokasi kepada netizen dengan memuat naik perkongsian yang menyentuh sensitiviti ramai.

Lambat panas

“Jadi, sekiranya ada perkara yang tidak kena pada mata mereka, pasti akan menjadi bahan kecaman. Disebabkan itu, saya elakkan daripada memuat naik sebarang hantaran sebelum mencetuskan kemarahan ramai,” katanya dalam sidang akhbar virtual baru-baru ini.

Tutur pelantun lagu lagu Pedih itu, dia juga tidak pernah mengharapkan kontroversi atau kisah panas sebagai jalan pintas untuk mendakap populariti.

Malah, Sarah juga bersyukur kerana bapanya banyak memainkan peranan dalam membentuk personaliti ketika awal kemunculan dalam arena seni.

“Sejak saya berkecimpung dalam industri, ayah banyak beri nasihat dan menemani saya ke mana-mana sahaja. Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah terpalit dengan gosip sensasi.

“Perkara yang saya belajar ketika ini ialah fikir dahulu situasi orang lain tentang hantaran yang bakal dikongsi. Jangan terlalu hendak kejar tanda suka sehingga abaikan rasa empati.

“Malah, membuat tindakan tanpa berfikir panjang semata-mata untuk meraih populariti segera bukan cara saya. Biar lambat panas tetapi tidak memalukan keluarga,” ujar anak kelahiran Rawang Selangor itu.

SARAH tidak kisah sekiranya dirinya dilabel sebagai penyanyi ‘lambat panas’ kerana baginya, kualiti lebih penting berbanding populariti.

Karier, aktiviti PKP

Berkongsi tentang perjalanan kariernya, Sarah mengakui pandemik Covid-19 turut menjejaskan banyak perancangan yang sudah diatur.

“Tidak dinafikan saya agak terkesan dari segi tawaran persembahan kerana sudah hampir setahun lebih saya tak dapat membuat persembahan dalam mana-mana acara.

“Namun, di sebalik kesedihan tersebut saya tetap positif kerana percaya perkara tersebut demi kebaikan semua pihak.

Kongsinya, walaupun tidak dibenarkan mengadakan persembahan pentas, dia tetap membuat persediaan dan latihan vokal sendiri di rumah.

“Di rumah, saya mempunyai studio mini sendiri dan setiap hari akan buat latihan vokal. Latihan ini perlu dibuat berterusan supaya momentum suara tidak berubah,” katanya ringkas.

Sama seperti orang lain, Sarah juga memiliki aktiviti wajibnya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu menjadi tutor kepada adiknya yang berusia 11 tahun mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, peranan tersebut dilakukannya kerana memahami kesibukan ibunya sebagai suri rumah dan bapanya pula keluar bekerja.

“Ibu bapa saya masing-masing sibuk bekerja dan sayalah yang menjadi tutor bagi membantu adik belajar secara virtual hampir setiap hari.

“Secara tak langsung saya juga perlu mengingati semula topik dan silibus pembelajaran ketika bersekolah dahulu untuk bantu dia belajar sekarang. Tidak mudah tetapi semuanya lancar,” tuturnya.

TERUJA dengan Andaikan, Sarah berharap pendengar dapat merasai rintihan yang cuba disampaikan menerusi single solo keenamnya itu.

Kelainan Andaikan

Dalam kesibukan negara menangani penularan Covid-19, Sarah muncul dengan single terbaru ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul dan lirik oleh Shah Shamshiri.

Menariknya, single tersebut telah disimpan selama dua tahun kerana dicipta khusus untuk menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi mana-mana drama.

“Pihak syarikat rakaman sebelum ini pernah juga mencadangkan lagu tersebut untuk beberapa buah drama, tapi belum jumpa naskhah yang sesuai ketika itu.

“Sehinggalah Andaikan dipilih untuk menghiasi drama Hatimu Sedingin Salju. Saya berbesar hati lagu ini dijadikan runut bunyi drama dalam slot Akasia kerana secara tidak langsung urusan publisiti menjadi lebih mudah,” ujarnya teruja.

Untuk rekod, Andaikan ialah single solo Sarah Suhairi yang keenam selepas Pedih, Nyawa & Raga, Rise & Fall, Mungkin dan Kau Yang Bertakhta.

Teruja berkongsi mengenai single tersebut, dia memberitahu Andaikan berjaya menyerlahkan sisi nyanyiannya yang lebih matang.

“Andaikan menunjukkan sisi lain vokal saya kerana lagu genre ini mempunyai melodi yang cukup indah dengan disertakan dengan bait-bait lirik penuh emosi.

“Kebiasaannya lagu sebegini dinyanyikan oleh penyanyi yang mempunyai vokal hebat seperti Misha Omar dan beberapa yang lain. Apapun saya dah berusaha memberikan yang terbaik dan harap peminat dapat menerimanya,” katanya.

Bercakap soal penghayatan lagu, penyanyi berkulit sawo matang itu berkata, dia banyak menonton drama Korea (K-Drama) untuk menyuntik penjiwaan kecewa dalam lagu tersebut.

“Andaikan mengisahkan percintaan yang musnah di pertengahan jalan.

“Sejujurnya saya memang pernah melalui kisah cinta sebegitu. Jadi, saya cuma menonton K-Drama saja, sebab karya mereka banyak memaparkan hubungan cinta yang tidak kesampaian. Harapnya pendengar boleh merasai emosi kesedihan yang saya salurkan dalam lagu ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI