JAKARTA – Seorang ahli terapi saraf yang melakukan rawatan dengan cara menyedut nafas pesakit Covid-19 dilaporkan telah meninggal dunia, demikian menurut laman berita Suara.com.
Lelaki bernama Masudin itu sebelum ini tular di media sosial ekoran perkongsian video yang menunjukkan aksinya menyedut nafas yang dihembuskan oleh seorang pesakit Covid-19 yang sedang terbaring.
“Sudah sembuh, minum dulu, esok boleh pergi bersiar-siar,” kata Masudin kepada pesakit tersebut.
Seorang pesohor media sosial yang juga doktor di Makassar, Bambang Budiono yang memuat naik video tersebut di Twitter meninggalkan komen menggelar Masudin sebagai sombong.
“Sifat takabur dan sombong akan membawa malapetaka. Covid-19 tidak memilih pesakit, sama ada rakyat jelata hinggalah orang ternama.
“Perkara sebegini yang menyebabkan kes di Indonesia paling tinggi di dunia. Menyedihkan,” tulis Bambang.
Masudin meninggal dunia Selasa lalu pada usia 47 tahun selepas mengadu demam dan sakit perut.
Salah seorang rakannya, Rony berkata, kali terakhir dia berjumpa Masudin adalah seminggu lalu dan ketika itu Masudin sudah terlantar sakit di rumahnya di Desa Banyuarang, Ngoro, Jawa Timur.
Rony menyifatkan Masudin sebagai seorang yang sangat baik dan suka membantu.
Semasa hayatnya, Masudin dikenali sebagai ahli terapi yang mempunyai kepakaran dalam merawat pesakit pekak dan namanya meningkat naik pada 2012. -Agensi