fbpx

‘Dapat RM10 juta, bagi bonus, Mat Bond Malaya macam dejavu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABIL janji nak kongsi bonus jika filem pertama arahan dan terbitannya catat angka kutipan RM10 juta.

PETALING JAYA – Pengacara terkenal Nabil Ahmad berjanji akan memberikan bonus kepada pelakon dan kru filem yang menjayakan filem pertama terbitannya, Mat Bond Malaya sekiranya kutipan tontonan naskhah berkenaan mencecah angka RM10 juta.

Nabil, 37, yang turut bertindak selaku pengarah naskhah komedi berkenaan berkata, niat tersebut sebenarnya pernah disuarakan semasa selesai menjalani penggambaran filem berkenaan lebih dua tahun lalu memandangkan Mat Bond merupakan filem pertama arahannya.

“Sebenarnya ketika tamat penggambaran saya pernah umumkan akan memberi bayaran sekali ganda kepada pelakon dan kru jika Mat Bond Malaya pecah panggung dengan kutipan RM20 juta.

“Namun keadaan bertukar dengan ‘serangan’ Covid-19 hingga akhirnya kami ambil keputusan siarkan menerusi Astro First selepas hampir dua tahun menunggu pawagam dibuka semula.

“Apa pun, melihatkan keadaan semasa terutama impak pandemik terhadap pekerja seni tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tetap pasang niat berkongsi rezeki dengan semua yang terlibat dalam filem ini sekirannya kutipan dapat mencecah RM10 juta,” katanya.

Mat Bond Malaya yang menggandingkan penyanyi Naqiu dan Elizabetbh Tan sebagai ejen penyiasatan dan serangan zombie sebagai latar penceritaan.

Menonjolkan genre komedi seram, filem yang bakal menemui penonton bermula 20 Julai nanti turut membariskan nama besar lain termasuk Azri Iskandar dan Riezman Khuzaimi selain penampilan khas Datuk Ramli MS.

Berkongsi pengalaman ketika penggambaran dua tahun lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nabil tidak menyangka kisah yang memaparkan babak ‘lockdown’ benar-benar berlaku.

“Kerja penggambaran tamat kira-kira seminggu sebelum PKP pertama diumumkan. Sebelumnya penggambaran berjalan dengan lancar malah kami hanya berada di set dari pagi hingga ke petang.

“Kami jangkakan situasi membabitkan Covid-19 ketika itu terkawal sehingga seminggu kerja di set tamat, keluar arahan PKP. Tentu saja semua orang terkejut kerana dalam filem ini ada babak ‘lockdown’.

“Macam dejavu bila apa yang kita paparkan, akhirnya berlaku di alam nyata malah keadaan berkurung demi mengelak jangkitan ini terus berlanjutan hingga sekarang.

“Memang membimbangkan tetapi saya secara peribadi bersyukur dapat menyempurnakan penggambaran dalam tempoh 25 hari dengan sokongan pelakon serta kru yang berdedikasi,” katanya.

Membabitkan 350 pelakon tambahan daripada kalangan penuntut kolej, Nabil juga tidak gentar menggandingkan Naqiu dan Elizabeth Tan sebagai teraju utama.

“Lagi pun ini satu gandingan unik. Saya menjual skrip dan lakon layar, bukan pelakon semata-mata sebab kalau ikutkan ada yang bertanya kenapa tidak letak aktor nama besar lain yang secara mudah dapat tarik penonton.

“Saya jadikan sutradara Mamat Khalid sebagai rujukan. Lihat filemnya, seperti Man Laksa yang mampu membuatkan penonton terhibur dan tonton berulang kali sedangkan tiada nama popular dibariskan.

“Sebenarnya saya sudah ada tiga skrip untuk filem seterusnya malah saya pesan kepada Naqiu bersedia untuk masuk set selepas PKP tamat kerana yakin dengan perancangan sekuel Mat Bond Malaya.

“Biarpun agak kecewa kerana filem ini dihasilkan menggunakan bajet dan kelengkapan penggambaran untuk tayangan pawagam, saya perlu mengikuti norma baharu dengan platform filemTV,” ulas Nabil lagi.

Enggan mendedahkan kejutan, namun katanya persetujuan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang julung kali menerima tawaran muncul dalam filem sebagai cameo sebagai bonus tambahan.

“Datuk Ramli MS sendiri mengaku ramai memujuknya sebelum ini tapi dia keberatan. Apabila pujukan saya mengena, tentu teruja sebab pertama kali penonton dapat tengok personaliti TV tegas itu berlakon.

“Ramai lagi nama popular kita panggil yang menggamatkan kisah ini seperti Datuk Seri Aliff Syukri. Mereka pun sangat bagus sebab tolong uar-uarkan tayangan Mat Bond Malaya.

“Saya bertuah dikelilingi kawan yang bagi sokongan dengan bantu promosikan termasuk Zizan Razak,” kongsi Nabil lagi mengenai filem yang bakal bersiaran di Astro First saluran 480 tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI