fbpx

Bayi lelaki ditemui terapung dalam kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KAJANG – Seorang bayi lelaki berusia setahun kini berada dalam keadaan kritikal selepas ditemui dalam keadaan separuh tenggelam di kolam buatan sendiri di rumah keluarganya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 9.11 pagi semalam daripada pihak Hospital Kajang selepas bayi berkenaan dibawa untuk mendapatkan rawatan.

“Kejadian berlaku ketika bapa mangsa sedang tidur di dalam bilik manakala ibu serta neneknya sedang memasak di dapur dan setelah selesai memasak si ibu menyedari mangsa telah tiada lalu mula mencarinya di sekitar rumah.

“Ibu mangsa kemudiannya menemui bayi berkenaan dalam keadaan separuh tenggelam di dalam kolam buatan di kawasan rumah tersebut lalu dikejarkan ke poliklinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Kajang dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (PICU),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Wad Pediatrik Kanak-kanak susulan keadaannya yang kritikal dan memerlukan rawatan rapi.

Menurut Mohd. Zaid, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai merangkak keluar ke halaman rumah melalui pintu gril utama yang tidak berkunci sebelum terjatuh ke dalam kolam tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua duanya.

“Pihak Polis menyeru sekiranya mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana Balai Polis atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Suresh di talian 017-4333795,” katanya. – K! ONLINE.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI