KAJANG – Polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter ‘Zulhelmiismail_ @iAm_ZuL’ bagi membantu siasatan berhubung penularan sekeping foto seorang anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) yang didakwa meminta suapan berupa wang tunai.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung perkara itu pada pukul 4.50 pagi tadi.
“Laporan tersebut dibuat setelah sekeping gambar anggota berkenaan lengkap berpakaian uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimuat naik dan dituduh meminta suapan berupa wang tunai. Ianya sekali gus telah mencemarkan imej PDRM.
“Untuk makluman, ciapan berkenaan dimuat naik semalam pada pukul 9.24 malam di laman sosial Twitter yang kemudiannya telah dipadam oleh pemilik akaun Twitter tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zaid, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang turut menjalankan siasatan sekiranya wujud salah laku oleh petugas SJR.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak mengaibkan kehormatan seseorang serta memuat naik perkongsian palsu dan jelik di laman sosial.
“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 atau 03-8911 4222,” ujar beliau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929