PETALING JAYA – Sejak menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual nasi minyak dan nasi ayam, penyanyi dangdut Amelina menyifatkan keadaan dan penampilan dirinya kini sangat berbeza berbanding dahulu kerana banyak menghabiskan masa di dapur.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 47, berkongsi sebuah video ketika menyediakan tempahan makanan dengan kapsyen berbaur seloroh apabila memberitahu badannya kini tidak seharum dahulu kerana berbau bawang putih.
“Macam inilah keadaan saya setiap malam. Sediakan tempahan. Dulu wangi bau minyak wangi Dior, Gucci, pakai lip lap (baju cantik), rambut kepuk-kepuk.
“Sekarang kak long (panggilan dirinya) dah bau bawang putih, ayam dan minyak sapi,” tulisnya.
Berdasarkan video yang dimuat naik dalam Instagramnya, pelantun lagu Asyik itu berkongsi kegiatan hariannya mencuci ayam untuk menyediakan tempahan ‘nasi minyak asyik’ atau ‘nasi ayam rindu’ untuk pelanggannya.
Walaupun begitu, Amelina tetap melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan mencari rezeki dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hari ini dan berdoa semoga semuanya kembali seperti biasa suatu hari nanti.
“Kuatkan semangat semua. Kita sama-sama mendoakan satu sama lain. Insya-Allah seandainya kita mendoakan kebaikan untuk seseorang, para malaikat akan mendoakan kita kembali.
“Mari kita doa sama-sama okey. Teruskan tabah, cekal dan muhasabah,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, ramai pengikut dan peminat penyanyi yang pernah digelar Ratu Dangdut itu mendoakannya supaya terus dilimpahkan rezeki dan kuat untuk meneruskan kehidupan.
“Kak long tetap kuat. Jangan pernah berhenti. Teruskan perjuangan. Saya doakan kak long berjaya dalam perniagaan, dikurniakan kesihatan dan dilimpahkan rezeki,” ujar salah seorang pengikutnya.
“Tidak mengapa. Mungkin rezeki ini (berniaga) lebih banyak daripada ‘berlip lap’ dulu,” kata seorang lagi peminatnya.
Terdahulu, ibu tunggal kepada enam orang cahaya mata itu mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan makanan nasi minyak dan nasi ayam secara kecil-kecilan demi meneruskan kelangsungan hidup yang semakin getir akibat Covid-19.
Ujar Amelina, dia tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa suatu hari nanti dia akan berniaga makanan hasil air tangannya sendiri.
Buat mereka yang ingin merasa air tangan Amelina, boleh membuat tempahan menerusi talian 0198915509. -K! ONLINE