PADANG BESAR – Seorang lelaki berusia 55 tahun mati ditembak selepas menyerang anggota polis sehingga cedera dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, suspek bertindak agresif dengan melibas pedang ke arah tiga anggota polis terbabit yang masing-masing cedera pada tangan, kaki dan kepala.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada seorang suri rumah kira-kira pukul 2.48 petang semalam yang mengadu dipukul suami di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit.
“Wanita itu mengadu ditampar, ditarik rambut dan dihentak muka ke lantai serta dipijak selain suspek meletakkan sebilah kapak di leher pengadu serta menarik rambut dan mengheretnya ke dalam bilik kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Kejadian itu berlaku apabila pengadu menegur suaminya bercakap sendirian dalam keadaan marah-marah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek untuk melindungi keselamatan semua anggota polis dan anak suspek yang berada di situ. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929