fbpx

Kalau bercinta saya hilang fokus, lalai – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA ABDUL

AINA ABDUL sebenarnya jarang diajak berbual tentang hal-hal remeh yang tidak masuk akal atau melibatkan cinta, hati dan perasaan.

Apa yang sering dijadikan topik saat bersama semestinya tentang kerjaya, bakat, lagu dan pencapaian yang dimiliki oleh penyanyi bertubuh kecil molek ini.

Biarpun keberadaannya dalam industri seni nyanyi boleh dikatakan sudah agak matang, namun sehingga kini rata-rata tidak mengetahui status diri Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 28, itu.

Sama ada sudah ada yang bertakhta di hatinya, persoalan tersebut akan diperjelaskan kali ini.

Adakah dia terlalu perahsia sehingga menyembunyikan hubungan kisah cintanya daripada khalayak khususnya pihak media, semua itu ada alasannya.
Ternyata, Aina mengakui, hatinya kosong tiada terisi dek mana-mana kumbang.

Penjulang trofi ‘Vocalist of The World’ pad pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat itu mengakuan hatinya masih belum terbuka untuk menerima cinta daripada mana-mana lelaki.

AINA mengakui, dia tidak pandai untuk membahagikan masa antara cinta dan kerjaya. Kelemahan tersebut sekali gus, menimbulkan keraguan untuknya mengisi kekosongan hati.

Takut lalai

Jelas Aina, pengalaman lalu membuatkan dia bimbang dan akan terbuai-buai dengan perasaan sendiri sehingga membuatkan dirinya nanti akan mengabaikan fokus utama dalam dunia seni.

“Saya masih ‘single’, tetapi ‘not available’ (tidak mahu dimiliki). Buat masa ini saya menutup pintu hati saya untuk mana-mana lelaki.

“Kalau ikutkan kali terakhir saya bercinta adalah pada tahun 2014, dan sejak itu saya memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya nyanyian,” ujarnya.

Kata Aina, sekarang bukanlah waktu terbaik untuk bercinta. Alasannya mudah, dia tahu suasana kehidupannya jika terjebak percintaaan, dia akan menjadi lalai dan leka semasa bekerja.

“Ibaratnya, asyik nak berkepit sahaja,” ujarnya.

Aina yang ditemui ketika sesi sidang media secara maya untuk mempromosikan single duet Warna-Warni bersama Daniesh Suffian baru-baru ini turut meletakkan tempoh 10 tahun untuk memberi tumpuan pada kerjaya, sekali gus membina namanya dalam bidang nyanyian.

Dalam masa sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sumpah itu juga percaya bahawa cinta akan datang pada waktu yang tepat mengikut ketetapan Allah SWT.

Ujar Aina, pendirian tersebut bukan bermaksud semua wanita adalah sama, iaitu akan menjadi lalai jika mempunyai teman lelaki.

“Saya maksudkan diri saya sahaja sebabnya saya memang jenis tidak pandai nak seimbangkan dua benda dalam satu-satu masa.

“Ada dua sahaja mengenai Aina Abdul. Sama ada dia akan terlalu fokus bekerja atau dia terlalu asyik bercinta.

“Betul, saya tak pandai seimbangkan dua benda dalam satu masa.

“Tetapi saya percaya, mungkin lelaki untuk saya nanti akan datang pada waktu yang tepat sepertimana yang sudah disusunkan oleh ALLAH SWT.

“Siapa tahukan?” jelasnya.

AINA menolak untuk bercinta dengan mana-mana lelaki buat masa ini kerana tidak mahu terlalu leka sehingga menjejaskan perjalanan karier nyanyiannya.

Kerjaya luar negara

Bercakap tentang karier yang semakin mewangi, Aina secara jujur tidak dapat menyembunyikan hasrat untuk melebarkan kerjaya nyanyian ke Korea Selatan selepas melihat penerimaan positif terhadap lagu Sepi versi Korea di sana.

Malah, Aina turut mengakui menjadikan lagu-lagu artis K-pop sebagai sumber inspirasi dalam berkarya.

Bagaimanapun dalam masa sama, wanita berusia 28 tahun itu sedar banyak usaha perlu dilakukan sebelum merealisasikan impian tersebut.

“Saya suka berangan bermacam-macam perkara dan melebarkan sayap ke industri muzik Korea Selatan adalah satu daripadanya.

“Bagaimanapun saya tahu, untuk merealisasikan impian itu banyak benda perlu dilakukan. Keputusan melancarkan lagu Sepi dalam bahasa Korea menjadi langkah pertama saya,” katanya.

Kata Naib Juara Anugerah Lagu ke-35 menerusi lagu Semalam itu lagi, ketika mula-mula melancarkan lagu tersebut, macam-macam perkara difikirkan bersama pasukannya untuk memikat hati pendengar di sana.

“Bagi saya, jika daripada 10 orang, dua orang sahaja yang sukakan Sepi, itu sudah cukup baik.

“Tetapi bila dapat perhatian stesen televisyen di sana, saya kira itu ‘baby step’,” katanya.

PENYANYI asal Seremban, Negeri Sembilan ini mensasarkan waktu selama 10 tahun untuk mencipta nama sebagai penyanyi sebelum memikirkan soal jodoh.

Puji Daniesh Suffian

Bahkan, Aina beru-baru ini mencatat rekod tersendiri apabila muncul dalam sebuah program televisyen Korea Selatan berjudul Simply Kpop Con-Tour yang disiarkan menerusi stesen Arirang TV dan ditemu bual pengacara program iaitu Kevin serta Jacob daripada kumpulan The Boyz melalui Instagram miliknya.

Bercerita tentang single duet terbaharunya bersama Daniesh Suffian, Aina menzahirkan rasa gembira kerana lagu berjudul Warna-Warni itu mendapat sambutan yang positif daripada pendengar dan peminat masing-masing.

Menurut Aina, Daniesh memiliki vokal yang melengkapi paduan suaranya dan itu antara kekuatan utama lagu ini selain lirik dihasilkan sempurna oleh Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.

Ujar Aina, dia terbuka untuk berkolaboratif dengan Daniesh kerana vokal bakat baharu itu bersesuaian dengannya,

“Saya tak sangka Daniesh pilih saya sebagai rakan duetnya. Dia seorang bagus dan mempunyai masa depan yang cerah dalam indusri,” ujarnya yang mengakui ‘jatuh hati’ dengan kelunakan suara Daniesh sewakyu sesi rakaman di studio.

Untuk perancangan yang akan datang, Aina kini merangka pelbagai perkara untuk dilakukan istimewa untuk peminatnya di luar sana.

Namun segalanya berbalik pada keadaan semasa memandangkan negara kini masih ‘berperang’ dengan Covid-19.

“Insya-ALLAH akan ada beberapa perancangan lagi selepas ini dan saya harap selepas Covid berakhir, impian tersebut akan dapat menjadi realiti,” katanya menutup kata.

SINGLE duet Daniesh Suffian, Warna-Warni kini mendapat sambutan yang positif daripada pendengar.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI