JEMPOL – Seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai tokan dadah berjaya ditangkap polis dalam satu operasi di tepi jalan besar Felda Palong 6, Gemas di sini kira-kira pukul 6.15 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam operasi berkenaan, polis telah menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 205 gram yang dianggarkan bernilai sebanyak RM7200.
Menurutnya, dadah yang ditemui bersama suspek yang beralamat di Batu Anam, Segamat itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar kawasan Felda Palong.
“Dalam operasi ini, polis merampas dadah dan satu bungkusan plastik warna merah yang dipegang di tangan sebelah kanan suspek. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Chang Hook berkata, suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah dan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, hasil ujian urin ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis Meth dan suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929