Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas sebanyak 15.94 tan hasil pertanian serta 210 kilogram (kg) ikan dalam satu operasi di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Isnin lalu.
Operasi bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam itu membabitkan nilai rampasan keseluruhan barangan berjumlah RM44,000.
Pengarah Maqis negeri, Mohd. Azam Yahya berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati enam lori dikesan membawa pelbagai jenis sayur dan buah-buahan segar termasuk 210 kg ikan.
“Barangan terbabit dibawa dari Thailand untuk pasaran tempatan namun menjadi kesalahan kerana tiada surat yang dikeluarkan Maqis selain tidak mematuhi syarat permit import,” katanya.
Mohd. Azam berkata, rampasan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Menurutnya, hasil pemeriksaan sepanjang operasi itu, pihaknya mendapati masih terdapat segelintir pengimport yang degil dan tidak mahu mematuhi syarat import sebagaimana ditetapkan oleh Maqis.
“Maqis Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Kita akan terus meningkatkan kawalan di semua ICQS di negeri ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport masuk ke negara ini,”jelasnya.
Mohd. Azam memberitahu, langkah itu bagi memastikan semua barangan yang diimport itu bebas ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar.
Katanya, hal ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang memasuki negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan. – K! ONLINE