fbpx

Skuad pelayaran mulakan sesi latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD pelayaran bersiap sedia menjalani sesi latihan pertama dengan menguji lautan Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Pelayaran Enoshima semalam.

SKUAD pelayaran negara turun menguji lautan Jepun di Pusat Pelayaran Enoshima apabila menjalani sesi latihan pertama mereka sebelum memulakan cabaran pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 25 Julai ini.

Jurulatih laser standard negara, Mohd. Affendy Abdullah berkata, segala persiapan berjalan lancar dan menegaskan ia penting buat semua pelayar negara bagi menyesuaikan diri dengan keadaan ombak di Pusat Pelayaran Enoshima tersebut.

“Hari ini kesemua atlet te­lah menjalani latihan pertama mereka dan keadaan angin pada hari pertama ini mendatar tetapi kita harapkan ke­adaan akan berubah sewaktu pertandingan nanti.

“Jika beraksi dengan ke­adaan angin perlahan agak sukar bagi kami. Apa yang saya boleh katakan sukar untuk menjangkakan keadaan laut di sini, kadang-kadang kelajuan angin pergi sehingga 15 hingga 18 knot.

“Bila kita lihat luar dari te­luk ini angin sangat kuat dan kadang-kadang ombak boleh pergi sehingga 2 hingga 3 meter. Apa pun, ini permulaan latihan yang baik bagi kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Empat atlet pelayaran sudah menempah tiket ke temasya sukan berprestij itu iaitu Khai­rulnizam Mohd. Affendy (laser radial), Nur Shazrin Mohamad Latif (laser radial) dan gandingan Nuraisyah Jamil serta Juni Karimah Noor Jamali (International 470).

Affendy menjelaskan, mereka akan menggunakan baki sembilan hari latihan dengan baik dan mengikut jadual latihan seperti biasa.

“Ini kali penampilan ketiga Khairulnizam di pentas O­limpik, jadi kita akan gunakan pengalaman sebelum ini serta mengikut jadual latihan seperti biasa.

“Setakat ini perjalanan atlet negara tiada masalah dan kita mengikut gelembung sukan yang ditetapkan oleh pihak penganjur untuk mengelakan penularan Covid-19 dalam kalangan atlet mahupun jurulatih,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI